
Yayasan MyKasih dalam kenyataan berkata hampir 600,000 transaksi direkodkan pada hari kedua setakat 5 petang ini, meningkat 20% berbanding tempoh sama semalam.
Menurutnya, statistik itu menjadikan jumlah keseluruhan transaksi sepanjang dua hari program mencecah 1.45 juta melibatkan perbelanjaan RM91 juta di seluruh negara.
Jelas Yayasan MyKasih, jumlah transaksi tinggi pada hari pertama mendorong pihaknya meningkatkan kapasiti pemprosesan terminal SARA sebanyak 60%, bagi memastikan kelancaran urusan pembelian.
“Bagaimanapun, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.
“Beberapa pasar raya besar di kawasan bandar yang mencatat bilangan penerima SARA yang tinggi mengalami kesesakan, terutamanya semasa waktu puncak antara 1 hingga 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan.
Yayasan MyKasih berkata keadaan itu mungkin berpunca daripada jumlah pembeli tinggi sempena cuti hujung minggu yang panjang.
“Selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima kredit one-off RM100 semalam, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA pada hari ini.
“Bagi menguruskan situasi ini, staf MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar terpilih bagi membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Perdana menteri berkata, pemberian sempena sambutan Hari Kebangsaan itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain penghargaan kepada rakyat, yang memanfaatkan 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Kredit RM100 di bawah Penghargaan SARA boleh digunakan sehingga 31 Dis 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.