
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mendedahkan 55 tapak terletak di Kedah manakala 22 di Terengganu dan empat di Kelantan, semuanya dicadangkan sendiri oleh pentadbiran negeri terbabit.
Jelasnya, 139 kawasan di Kuala Lumpur, Perak (85), Selangor (72), Pahang (58), Negeri Sembilan (49), Johor (35), Melaka (9) manakala lima di Pulau Pinang.
“Mereka yang cadang namun sekarang bantah, ini pendekatan kurang siuman,” katanya dalam temu bual dengan media baru-baru ini.
Nga merujuk kepada bantahan dari blok pembangkang di Dewan Rakyat terhadap RUU PSB, selain penolakan oleh kumpulan empat kerajaan negeri ditadbir PAS atau dikenali SG4.
SG4 mendakwa RUU itu akan memberi kesan besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
KPKT mencadangkan RUU PSB menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar daif.
Bacaan ketiga, perbahasan dan pengundian RUU itu akan dibuat pada mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025, bermula 6 Okt dan berakhir pada 4 Dis.
Ambang persetujuan baharu juga dinaikkan kepada 80% pemilik, yang diseragamkan ke paras 80% tanpa mengira usia bangunan.
Pada 25 Feb lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa penggubalan akta khusus pembaharuan semula bandar diumumkan pada 2015, manakala penggubalan RUU PSB dimulakan pada 2021 dan diteruskan kerajaan seterusnya.
Nga berkata walaupun Terengganu mewartakan tapak sejak 2015 diikuti Kedah tiga tahun kemudian, belum ada sebarang usaha untuk menaik taraf oleh pentadbiran PAS itu.
“Sekarang kamu salahkan saya (bila bentang RUU PSB), adakah itu adil? Mengapa menentang sesuatu yang kamu cadangkan?” katanya.
Tegasnya, tidak timbul isu kuasa kerajaan negeri terjejas kerana semua keputusan dibuat secara kolektif menerusi RUU PSB.
Menurutnya, menteri besar atau ketua menteri berperanan mengetuai jawatankuasa eksekutif negeri yang antara tugasnya untuk merancang pembaharuan semula bandar.
“Di jawatankuasa eksekutif persekutuan pula bukan saya seorang duduk di sana, ada datuk bandar, ketua setiausaha, ketua pengarah, wakil kerajaan negeri, kumpulan profesional dan perunding.
“Jadi keputusan dibuat secara kolektif,” katanya menepis dakwaan RUU PSB memberi kuasa kepada menteri serta pro pemaju.