Perpecahan dalam PBM Sabah akibat keputusan tak tanding 2 kerusi PH

Perpecahan dalam PBM Sabah akibat keputusan tak tanding 2 kerusi PH

Presiden PBM Larry Sng berkata beberapa pemimpin meletak jawatan susulan cadangannya tidak bertanding kerusi Kadamaian dan Tanjong Papat.

larry sng
Presiden PBM Larry Sng bimbang parti itu akan dilabel anti-Pakatan Harapan jika bertanding di kerusi Kadamaian dan Tanjong Papat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa pemimpin kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Sabah meletak jawatan selepas Presidennya, Larry Sng mencadangkan ia tidak bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri dipegang Pakatan Harapan.

Sng dalam catatan Facebook berkata, PBM menerima peletakan jawatan beberapa pemimpin parti di Sabah susulan cadangannya tidak bertanding kerusi Kadamaian dan Tanjong Papat seperti diumumkan dalam mesyuarat tahunan parti di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Beliau tidak menamakan pemimpin yang meletak jawatan itu.

Sng berkata, alasan tidak bertanding dua kerusi itu disebabkan kurang persediaan dalam kalangan calon berpotensi parti.

“Saya juga bimbang parti akan dilabel anti-PH, iaitu gabungan diketuai perdana menteri yang merupakan rakan dan sekutu kita di peringkat nasional,” katanya dalam catatan Facebook.

Kerusi Kadamaian disandang Presiden Upko, Ewon Benedick yang juga pengerusi PH Sabah, manakala Tanjung Papat dimenangi Frankie Poon dari DAP.

Sng berkata, beliau hanya akan menyokong parti itu bertanding di kerusi Bandau, di mana calonnya ialah Pengerusi PBM Sabah, Jupperi Lenson.

Menurutnya, kerusi Bandau kini disandang Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Wetrom Bahanda yang mungkin tidak akan bertanding semula.

“Memandangkan PBM tidak terbabit sebarang rundingan antara PH-Barisan Nasional-Gabungan Rakyat Sabah, keputusan bertanding di kerusi itu dibuat sejak awal lagi.”

Pada 2 Ogos lalu, Sng dilaporkan berkata, PBM akan bertanding dalam PRN Sabah yang mungkin diadakan tahun ini dan tidak akan membentuk mana-mana pakatan pilihan raya dengan gabungan utama lain.

Keputusan parti itu bertanding solo didorong sokongan akar umbi dan sejarah PBM di Sabah, katanya sambil menambah antara kerusi menjadi tumpuan ialah Bandau, Tanjong Papat serta Kadamaian.

“Ketika ini, kita sedang memuktamadkan kerusi dan calon, tetapi kita menjangkakan akan bertanding di dua hingga tiga kawasan,” Sng dilaporkan berkata.

Penggal lima tahun DUN Sabah akan tamat 11 Nov ini, melainkan ia dibubarkan lebih awal. PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.