Guru taska dipercayai dera kanak-kanak ditahan

Guru taska dipercayai dera kanak-kanak ditahan

Berdasarkan laporan, suspek memukul kepala mangsa menggunakan botol air, tudung saji selain bertindak mengheret kanak-kanak itu menggunakan kaki dari kawasan kelas sehingga ke bilik air.

handcuff
Seorang guru taska ditahan dalam siasatan ke atas kes dera fizikal dan mental seorang kanak-kanak di Bandar Rimbayu. (Gambar Freepik)
SHAH ALAM:
Polis menahan seorang guru taska dipercayai dera fizikal dan mental seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Bandar Rimbayu, Kuala Langat.

Ketua Polis Kuala Langat Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 9.01 malam 24 Ogos lepas, setelah dimaklumkan oleh guru taska lain mengenai tindakan suspek yang bertindak kasar terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan laporan, suspek memukul kepala mangsa menggunakan botol air, tudung saji selain bertindak mengheret kanak-kanak itu menggunakan kaki dari kawasan kelas sehingga ke bilik air.

“Pada 22 Ogos lepas, pengadu melihat rakaman kamera litar tertutup dan mendapati kejadian berlaku seperti mana yang diceritakan guru taska lain sebelum ini dan pengadu juga berbincang dengan pihak keluarga berkaitan kejadian itu sebelum hadir untuk membuat laporan,” menurut kenyataan.

Akmalrizal berkata suspek wanita berusia 38 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas lima hari ditahan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk hadir ke balai polis berhampiran, atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.