Loke tepis dakwaan RUU PSB agenda DAP

Loke tepis dakwaan RUU PSB agenda DAP

Setiausaha agung DAP berkata RUU dibentangkan di Parlimen itu bukan agenda mana-mana parti dan mendapat sokongan penuh Jemaah Menteri.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook terbuka berbincang sebarang kelemahan dalam RUU PSB dan mengkritik pembangkang mendakwa ia agenda DAP.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menepis dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) agenda parti itu dan menekankan ia sebahagian inisiatif lebih luas kerajaan.

Beliau berkata, tidak wajar menuduh DAP mempunyai agenda tertentu hanya kerana RUU itu dibentangkan menteri daripada partinya.

Tegasnya, tiada RUU boleh dibentangkan di Parlimen tanpa persetujuan Jemaah Menteri dan perdana menteri sendiri mengulangi komitmennya terhadap usaha pembangunan semula perumahan rakyat yang lama serta daif.

“Ini saya pelik, kenapa perlu kata itu agenda DAP? Ini adalah agenda kerajaan Madani kerana apa saja RUU yang dibawa oleh seorang menteri bukanlah agenda parti.

“Jadi, jangan menuding jari mengatakan ini agenda parti dan sebagainya. Sistem kita bukan begitu,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seremban di Sekolah Kebangsaan Sikamat di Seremban.

Loke berkata, beliau terbuka berbincang sebarang kelemahan dalam RUU PSB dan mengkritik pembangkang memainkan isu itu dengan mendakwa ia agenda DAP.

“Tapi dalam Dewan Rakyat, saya dengar ketua pembangkangnya sokong. Cuma beliau kata ada perkara-perkara yang perlu dirunding dan itu yang kita akan buat.”

Menteri pengangkutan itu berharap RUU PSB tidak terus dipolemikkan kerana ia inisiatif baik dan Perikatan Nasional (PN) cuba membentangkannya ketika mereka berkuasa.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran PN memulakan penggubalan RUU PSB pada 2021.

“Cumanya mereka tak buat dan apa yang dinyatakan secara jelas dasarnya ialah untuk membantu pembangunan semula bandar, terutama di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Saya rasa ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan bahawa RUU ini menjamin hak pemilik tanah.”

Khamis lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, RUU itu akan dipinda dengan ambang persetujuan baharu susulan bantahan Ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil.

Beliau berkata, semua projek pembangunan semula di bawah RUU itu kini memerlukan persetujuan 80% pemilik, tanpa mengira usia bangunan.

Sebelum ini, RUU itu mencadangkan kadar ambang persetujuan lebih rendah bagi jenis bangunan tertentu, iaitu 75% untuk bangunan lebih 30 tahun dan 51% untuk bangunan terbengkalai atau tidak selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.