Lebih 7,000 terminal khas SARA mudahkan rakyat berbelanja

Lebih 7,000 terminal khas SARA mudahkan rakyat berbelanja

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh galak penerima tidak mahu guna bantuan RM100 salur kepada golongan memerlukan.

sumbangan asas rahmah
Fuziah Salleh menasihatkan pengguna mengasingkan barangan keperluan bawah program SARA daripada barangan lain bagi mengelakkan kelewatan ketika membuat bayaran di kaunter. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Lebih 7,000 terminal khas bagi memproses pembayaran Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini tersedia di semua rakan niaga MyKasih seluruh negara bagi memudahkan 22 juta rakyat Malaysia membeli barangan keperluan asas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata jumlah itu akan terus meningkat dengan hasil kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) dan penyedia program MyKasih.

Beliau berkata, pihaknya turut memohon MoF memperluaskan kemudahan terminal itu ke semua lokasi Jualan Rahmah bergerak supaya rakyat dapat menikmati manfaat tambahan ketika membeli barangan keperluan asas.

“Insya-Allah kita sedang usahakan kerjasama dengan MoF untuk menyediakan terminal ini di semua program Jualan Rahmah. Saya dimaklumkan di Sabah, semua Jualan Rahmah sudah dilengkapi terminal SARA,” katanya selepas merasmikan penutupan Karnival Komuniti Madani Merdeka 2025 Parlimen Kuantan di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada 23 Julai lalu mengumumkan RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Anwar berkata, pemberian sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat, yang memanfaatkan 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Dalam pada itu, Fuziah menasihatkan pengguna ingin berbelanja menggunakan SARA mengasingkan barangan keperluan tersenarai dalam kategori program itu daripada barangan lain bagi mengelakkan kelewatan ketika proses pembayaran.

“Mana-mana barangan yang sudah ditanda dengan logo khas SARA perlu diasingkan dengan barangan biasa supaya ketika di kaunter, petugas mudah mengimbas.”

Beliau turut menggalakkan penerima tidak berhasrat menggunakan bantuan RM100 di bawah program itu menyalurkannya kepada golongan lebih memerlukan.

“Kalau seseorang itu rasa tidak mahu ambil (SARA), mereka boleh derma dengan beli barangan SARA dan serahkan kepada sesiapa saja, sama ada jiran, orang kampung atau kariah masjid. KPDN dengan kerjasama Mydin juga akan menyediakan kaunter khas dan van bergerak untuk mendaftarkan sesiapa yang mahu menderma.”

Katanya, Mydin menyasarkan penyediaan 200,000 kotak SARA Rahmah diagihkan kepada penerima layak, sekali gus memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada lebih ramai rakyat memerlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.