Gempa bumi: Agong titah masjid, surau di Johor laksana solat hajat, doa selamat

Gempa bumi: Agong titah masjid, surau di Johor laksana solat hajat, doa selamat

Lima gegaran gempa bumi di Segamat sejak 24 Ogos yang terbaharu pagi ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim menzahirkan titah berkenan memohon perlindungan Allah supaya sentiasa melindungi rakyat daripada sebarang musibah dan bencana susulan gegaran gempa bumi. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan semua masjid dan surau di Johor untuk melaksanakan solat hajat serta doa selamat selepas beberapa gegaran berlaku di Segamat sejak kejadian pertama direkodkan pada 24 Ogos lepas.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan titah berkenan memohon perlindungan Allah SWT supaya sentiasa melindungi rakyat daripada sebarang musibah dan bencana susulan gegaran itu.

“Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan doa agar negeri Johor serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan dilindungi daripada sebarang malapetaka,” menurut hantaran itu.

Sebelum ini, empat gegaran telah direkodkan di Segamat pada 6.13 pagi, 24 Ogos dengan 4.1 pada skala Richter; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5) dan 4.24 pagi semalam (3.4).

Terbaharu, gempa bumi lemah sekali lagi berlaku di Segamat berukuran 2.7 pada skala Richter pada 7.29 pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.