Sukri Omar tolak pencalonan ketua Pemuda PAS

Sukri Omar tolak pencalonan ketua Pemuda PAS

Ketua Pemuda PAS Selangor itu berkata dia mahu memberi fokus untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.

Sukri Omar
Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata ramai pelapis baharu kepimpinan dalam PAS yang wajar ditonjolkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar menolak pencalonan sebagai ketua Pemuda pusat dalam pemilihan muktamar sayap itu bulan depan.

Beliau juga turut menolak pencalonan bagi merebut jawatan ahli jawatankuasa kerja (AJK) Pemuda pusat bagi memberi ruang kepada pemimpin baharu mengisi jawatan itu.

“Setelah menimbang dengan penuh teliti, bermesyuarat dengan sahabat-sahabat seperjuangan serta mengambil kira maslahat dan keperluan parti secara keseluruhan, dengan rendah hati saya menolak pencalonan tersebut.

“Keputusan ini dibuat demi memberi ruang kepada saf kepimpinan lain untuk tampil, menyumbang tenaga dan kebijaksanaan dalam memimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menghargai kepercayaan melalui pencalonan dibuat Pemuda PAS kawasan untuk dirinya bertanding sebagai ketua dan AJK Pemuda.

“Saya berpegang bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan. Justeru, saya kekal komited untuk terus berkhidmat dalam parti di mana sahaja yang diamanahkan pada saya,” katanya.

Menurut Sukri, beliau yang berkhidmat sebagai pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia selama dua tahun ingin memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Selangor.

“Dua tahun sebagai pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, pelbagai perubahan dan gerak kerja telah dilaksanakan. Sudah tiba masanya saya memberi fokus kepada bagi merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.

“Saya melihat ramai pelapis baharu kepimpinan yang wajar ditonjolkan dan berbakat,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS Wan Rohimi Wan Daud mengumumkan Sukri antara calon layak bertanding bagi jawatan ketua Pemuda pusat selain penyandang yang juga Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden.

PAS akan mengadakan pemilihan kepimpinan dalam muktamar yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 September depan di Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.