
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, berkata dua iniastif baharu terdiri daripada Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya dan inisiatif pemerkasaan kompetensi guru dalam pengendalian kes buli di sekolah bertujuan menambah baik dasar menangani dengan lebih proaktif.
Katanya, kumpulan sokongan itu akan menyediakan ruang selamat kepada mangsa buli sambil dipantau oleh guru kaunselor untuk memberikan sokongan sewajarnya kepada mangsa.
Menurutnya, sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan sebagai projek rintis di beberapa sekolah menengah terpilih khususnya sekolah berasrama dan sekolah dikenal pasti mencatat insiden buli yang tinggi.

“Projek ini akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor serta pakar psikologi pendidikan yang terlibat dalam pembangunan modul Sehat.
“Kita juga kini mempertimbangkan untuk membangunkan sebuah modul latihan bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru, khususnya guru kaunselor dan
guru disiplin dalam menangani kes-kes buli secara lebih berkesan dan menyeluruh.
“Ia bertujuan meningkatkan pemahaman terhadap punca-punca buli, faktor yang menyebabkan mangsa enggan melaporkan kejadian termasuk isu budaya
senioriti atau ketakutan tiada tindakan diambil, serta memperkukuh penguasaan terhadap garis panduan sedia ada dalam pengurusan salah laku buli di sekolah,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata sekiranya inisiatif dilaksanakan itu menunjukkan keberkesanan, hasilnya akan dikongsi bersama Kementerian Pendidikan sebagai cadangan untuk dilaksanakan lebih meluas di seluruh negara.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama rentas sektor melibatkan agensi kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa serta NGO melalui program advokasi dan seminar kesedaran.
“Perincian mengenai modul baharu dalam inisiatif Sehat ini sedang diteliti dan akan diumumkan tidak lama lagi, sebelum diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Program Sehat itu diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2021 untuk memperkasa kesedaran, pencegahan awal dan akses kepada sokongan kesihatan mental bagi semua lapisan masyarakat.