
Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika merasmikan pembukaan EKVE Seksyen Satu di Plaza Tol Ampang, Kuala Lumpur, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
“Atas semangat kemerdekaan ini, saya umumkan tol percuma di mana-mana plaza tol EKVE selama 30 hari bermula 6 pagi esok,” katanya, lapor Bernama.
Lebuh raya EKVE Seksyen Satu sepanjang 24km itu mempunyai empat persimpangan bertingkat, iaitu di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang.
Dalam ucapannya, perdana menteri turut menggesa supaya EKVE Seksyen Dua segera dibina tanpa sebarang kelewatan untuk menangani kesesakan maksimum di kawasan bandar.
“Kesesakan sudah di tahap maksimum … di Kuala Lumpur, di bandar-bandar ini kesesakannya luar biasa, jadi projek-projek itu (pembinaan lebuh raya), harus disegerakan, ikut jadual, walaupun ia memakan belanja dan kos yang tinggi,” katanya.
Beliau menambah, selain untuk pendidikan dan kesihatan, kerajaan berbelanja paling tinggi untuk sektor kerja raya dan pengangkutan, yang menurutnya bukan sahaja diperlukan untuk rakyat tempatan, malah untuk pelancong.