
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Malaysia tidak boleh mengambil ringan risiko gempa bumi susulan Segamat sudah empat kali dilanda bencana itu pada 24,27, 28 Ogos dan terbaharu awal pagi tadi.
Gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 pada skala Richter itu turut dirasai beberapa kawasan di Johor.
Nga menjelaskan sejak 2016 semua bangunan baharu diwajibkan mematuhi piawaian keselamatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), termasuk keupayaan menahan gegaran berskala 7 skala Richter atau lebih tinggi.
Namun menurutnya, banyak bangunan dibina sebelum itu tidak memenuhi standard keselamatan ditetapkan dan berisiko runtuh sekiranya berlaku gempa bumi.
“Sebab itu kita perlukan RUU PSB. Keselamatan awam adalah keutamaan utama kita. Dalam hal ini, tiada kompromi,” katanya pada sidang media khas.
“Kita tidak boleh ambil mudah dan anggap negara kita tidak akan dilanda gempa bumi sampai kiamat.”
Bacaan ketiga RUU PSB yang sepatutnya semalam ditangguhkan pada sidang Parlimen akan datang selepas menerima bantahan daripada ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil.
Nga dipetik berkata undang-undang itu juga akan dipinda dengan ambang persetujuan baharu iaitu memerlukan persetujuan 80% pemilik.
Sebelum ini, RUU itu mencadangkan kadar ambang persetujuan lebih rendah bagi jenis bangunan tertentu, iaitu 75% untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, dan hanya 51% bagi bangunan terbengkalai atau tidak selamat.