
Mesyuarat ke-12 AMMSWD dan siri mesyuarat berkaitan berlangsung selama tiga hari bermula 26 Ogos secara dalam talian dari Nay Pyi Taw, Myanmar. Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad.
Malaysia mula memegang tampuk kepengerusian pada 2022 ketika rantau ini masih berdepan cabaran pemulihan pasca pandemik Covid-19.
“Namun dalam tempoh tersebut, Malaysia berjaya menerajui pelaksanaan Pelan Kerja Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development (SOMSWD) 2021–2025 serta merangka pelan kerja baharu bagi tempoh 2026–2030 yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
“Antara pencapaian utama Malaysia sepanjang tempoh itu ialah pewujudan Terma Rujukan (Terms of Reference) pertama bagi AMMSWD dan SOMSWD, yang menjadi asas kepada tadbir urus lebih tersusun serta hala tuju strategik yang lebih jelas dalam usaha memperkasakan kesejahteraan sosial di peringkat ASEAN,” menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan.
Selaras dengan tema ASEAN tahun ini, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, negara turut berjaya menganjurkan ‘ASEAN + Republic of Korea Conference on Care and Support for Older Persons’ di Kuala Lumpur pada 30 Jun hingga 2 Julai.
Lebih 100 peserta dari negara ASEAN dan Korea Selatan menyertai persidangan itu, yang memberi fokus kepada usaha memperkasa perlindungan warga emas selaras dengan Kuala Lumpur Declaration on Ageing: Empowering Older Persons (2015) dan Pelan Kerja ASEAN Plus Tiga 2023–2027.
“Persidangan tersebut menjadi platform penting untuk pertukaran pandangan serta amalan terbaik dalam menangani cabaran penuaan penduduk, pembangunan sistem penjagaan warga emas dan industri silver economy yang kian berkembang,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat kali ini turut menyaksikan penyerahan kepengerusian Malaysia kepada Myanmar oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri pada hari terakhirnya.
Dalam ucapannya, Nancy menyifatkan tempoh kepengerusian Malaysia sebagai satu fasa penuh kerjasama erat antara negara anggota ASEAN dan rakan strategik serta menzahirkan penghargaan atas komitmen dan sokongan yang diberikan sepanjang tiga tahun lalu.
“Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada usaha membentuk dasar sosial serantau yang lebih inklusif, khususnya dalam melindungi golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Myanmar yang akan mengambil alih kepimpinan AMMSWD bagi tempoh dua tahun akan datang.
Sebagai anggota aktif AMMSWD, Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dalam memperkukuh dasar kebajikan sosial dan memacu agenda pembangunan yang lebih inklusif di seluruh rantau ASEAN.