
Hakim Lim Chong Fong berkata rayuan difailkan pegawai penyiasat A Jeinthan dan kerajaan tidak mempunyai merit kerana hakim tidak silap dari segi undang-undang dan fakta.
Dua tahun lalu, Hakim Azizul Azmi Adnan memerintahkan defendan membayar RM180,000 sebagai ganti rugi am bagi 12 hari tahanan (10 Okt hingga 22 Okt) serta RM45,000 ganti rugi teladan kerana penahanan salah.
Membacakan alasan penghakiman lisan panel tiga hakim, Lim berkata serbuan ke atas kediaman Ananthagopi sebenarnya berkaitan dakwaan salah guna atau kecurian patung dewa kuil, bukannya isu lebih masa tinggal.
“Namun, Ananthagopi tidak pernah disiasat atau dituduh berhubung salah guna atau kecurian itu. Kami sependapat dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa alasan pegawai penyiasat menahan beliau di bawah Akta Imigresen kelihatan dibuat secara rekaan selepasnya,” katanya.
Panel Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Supang Lian bersama Hakim Alwi Abdul Wahab dan Lim.
Lim berkata Jeinthan juga gagal memberi keterangan meyakinkan mengapa beliau tidak dapat memaklumkan Ananthagopi sebab penahanan itu.
Beliau menambah pegawai penyiasat hanya kemudian mendapati pasport dan visa Ananthagopi adalah tulen, walaupun visanya telah tamat tempoh.
“Kami juga berpandangan bahawa tempoh 12 hari yang diambil untuk menyiasat status imigresen Ananthagopi adalah pada zahirnya tidak munasabah dalam era teknologi maklumat masa kini,” katanya.
Hakim itu berkata hak kebebasan seseorang di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dinafikan semasa siasatan.
“Akibat tindakan cuai pegawai penyiasat ketika menjalankan tugas, kerajaan bertanggungjawab secara vikarius sebagai majikannya,” katanya.
Menurut Lim, ganti rugi teladan wajar diberikan kerana tindakan pegawai penyiasat itu bersifat salah, menindas, sewenang-wenangnya serta bertentangan Perlembagaan, sebagai ejen kerajaan.
Panel turut menganugerahkan kos RM30,000 kepada Ananthagopi, 42, yang kini sudah pulang ke India.
Ananthagopi, diwakili peguam S Karthigesan dan AR Thamayanthy, menuntut ganti rugi atas penahanan tidak sah dan salah laku pegawai awam.
Dalam pernyataan tuntutannya difailkan pada 28 Dis 2020, Ananthagopi dari Tiruchirappalli berkata beliau masuk ke Malaysia pada 7 Mac 2020 dan merancang pulang pada 23 Mac.
Namun beliau tidak dapat kembali ke India selepas kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan bermula 18 Mac 2020.
Ketika itu, Putrajaya mengumumkan moratorium sehingga 31 Dis 2020 serta memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap warga asing yang tinggal lebih masa.
Ananthagopi ditahan polis pada 10 Okt susulan siasatan berhubung kecurian patung dewa di sebuah kuil di Rantau, sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson pada 22 Okt kerana tinggal lebih masa.
Beliau mengaku tidak bersalah dan dipenjara di Penjara Sungai Udang, Melaka sehingga 10 Nov.
Pada tarikh itu, beliau sekali lagi dibawa ke hadapan majistret dan dilepaskan atas alasan moratorium. Beliau kemudian memfailkan saman sebelum meninggalkan Malaysia tidak lama selepas itu.