Ejen insurans bebas pertuduhan menyebabkan kematian akibat memandu mabuk

Ejen insurans bebas pertuduhan menyebabkan kematian akibat memandu mabuk

Majistret memutuskan keputusan ujian pernafasan adalah meragukan dan keterangan pegawai penyiasat tidak boleh dipercayai.

HRV kemalangan
Mahkamah Majistret membebaskan K Meena Sundram daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 75 tahun ketika memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Klang Lama tiga tahun lalu. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Seorang ejen insurans dibebaskan daripada pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk yang dikaitkan dengan kematian seorang pelanggan restoran tiga tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan semua elemen dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap K Meena Sundram, 60.

Beliau memutuskan pertuduhan terhadap tertuduh tidak mematuhi undang-undang, selain keputusan ujian pernafasan yang dikemukakan sebagai bukti adalah meragukan.

Khairunnisak juga berkata ada unsur kecuaian penyumbang daripada seorang pemandu lain yang menyebabkan kemalangan itu.

“Keterangan pegawai penyiasat tidak boleh dipercayai,” katanya.

Pendakwaan telah memanggil 13 saksi bagi membuktikan kes tersebut.

Meena Sundram didakwa memandu dengan kandungan alkohol sebanyak 117mg bagi setiap 100ml darah, melebihi had sah 50mg bagi setiap 100ml darah.

Dia dituduh di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian Soh Cheng Keong @ Soh Chin Kiew, 76, di Jalan Klang Lama pada jam 8.50 malam, 20 Mac 2022.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000. Jika sabit kesalahan, tertuduh juga akan hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya tujuh tahun.

Lapan individu lain turut cedera apabila kenderaan tertuduh merempuh kawasan makan di luar sebuah restoran. Sebuah kereta yang diletakkan berdekatan juga rosak dalam kejadian itu.

Timbalan pendakwa raya Anis Wahidah Mohamad mengendalikan pendakwaan, manakala P Ari Krishnan dan S Jayananda Rao mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.