
Ketua Polis Barat Daya, Sazalee Adam, berkata lelaki berusia 58 tahun yang memandu sebuah Honda Accord itu merempuh sebuah Proton X70 dan tiga lagi kenderaan dalam kejadian kira-kira 11.55 malam.
Katanya, suspek ditahan sepasukan anggota polis trafik daerah sejurus kejadian itu.
“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan suspek atau individu lain di lokasi kejadian.
“Hasil semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau rekod berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Bayan Lepas untuk siasatan lanjut dan dijangka direman di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.
“Honda Accord dipandu suspek turut disita dalam kejadian itu,” katanya.