Wakil rakyat DAP ‘bingung’ seruan Suhakam tangguh RUU Pekerja Gig

Wakil rakyat DAP ‘bingung’ seruan Suhakam tangguh RUU Pekerja Gig

Syahredzan Johan berkata Kesuma tiada kewajipan libat Suhakam dalam gubal RUU itu kerana sudah buat libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Syahredzan Johan
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, berkata Kesuma juga mengumpul maklum balas terhadap RUU Pekerja Gig termasuk dapatan daripada Jawatankuasa Pilihan Parlimen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat DAP menolak rungutan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) badan itu tidak dirujuk Kementerian Sumber Manusia dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, berkata kementerian tidak mempunyai kewajipan merujuk Suhakam mengenai undang-undang dicadangkan bagi pekerja gig, memandangkan pihak berkepentingan utama di bawah RUU itu telah dirujuk.

Beliau berkata, malah kumpulan hak asasi, North-South Initiative, menggambarkan RUU berkenaan mempunyai ‘ketelusan dan penglibatan penyertaan’, tidak sebagaimana pembentangan undang-undang lain.

“Dengan penglibatan inilah banyak pihak berkepentingan menyatakan sokongan ke atas RUU tersebut, termasuk Gabungan E-Hailing Malaysia, Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Cuepacs, Majlis Peguam, dan lain-lain, termasuk ahli ekonomi dan aktivis.”

“Kementerian juga telah mendapatkan maklum balas daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai RUU itu. Justeru, adalah mengelirukan jika Suhakam meminta agar ianya ditangguhkan semata-mata kerana mereka merasakan tidak dirujuk,” katanya di X.

Awal hari ini, Suhakam menyambut baik RUU berkenaan, namun berkata penambahbaikan lanjut adalah perlu sambil menyeru agar bacaan kedua di Dewan Rakyat ditangguh.

Dalam kenyataan, suruhanjaya itu juga menyatakan kekesalan kerana tidak dirujuk dalam penggubalannya dan menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan mendedahkan kandungan RUU pada saat-saat akhir.

RUU Pekerja Gig bertujuan memberikan perlindungan dan pengiktirafan kepada pekerja dalam sektor berkenaan, dibentangkan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin. Bacaan kedua dan ketiga dijadualkan berlangsung hari ini.

Elemen utama RUU tersebut termasuk definisi rasmi bagi pekerja gig, menetapkan pampasan minimum, menubuhkan mekanisme aduan, serta memastikan perlindungan keselamatan sosial melalui sumbangan wajib kepada Perkeso.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.