Tubuh RCI siasat Petronas, pemimpin Sarawak urus dana, kata Zaid

Tubuh RCI siasat Petronas, pemimpin Sarawak urus dana, kata Zaid

Bekas menteri Zaid Ibrahim berkata jika Sarawak menuntut ketelusan daripada Petronas, standard akauntabiliti sama perlu terpakai kepada kepimpinan negeri.

Zaid Ibrahim
Bekas menteri Zaid Ibrahim berkata RCI dicadangkan itu juga perlu meneliti bagaimana pemimpin Sarawak menguruskan peruntukan persekutuan, sumber asli dan perusahaan kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menyokong gesaan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat bagaimana Petronas menggunakan keuntungan dijana daripada sumber minyak dan gas Sarawak, tetapi akauntabiliti juga perlu melangkaui syarikat minyak negara itu.

Zaid berkata, jika Sarawak menuntut ketelusan daripada Petronas, standard akauntabiliti sama juga perlu dikenakan terhadap kepimpinan negeri itu.

“Oleh itu, RCI perlu meneliti bukan saja Petronas, tetapi juga bagaimana pemimpin Sarawak menguruskan peruntukan persekutuan, sumber asli dan perusahaan milik kerajaan negeri,” katanya dalam catatan X.

Beliau berkata, teras siasatan RCI terhadap Petronas perlu bermula dengan satu persoalan mudah – dengan bertrilion kekayaan hasil minyak, kenapa rakyat Sarawak khasnya masyarakat pribumi dan luar bandar masih hidup dalam kekurangan.

Zaid berkata, syarikat minyak Sarawak, Petros memainkan peranan penting dalam projek tenaga.

“Tetapi, siapa yang meneliti Petros dan mengapa butiran kontraknya kabur?” soalnya sambil menambah siapa mendapat keuntungan daripada usaha niaga tenaga baharu itu, rakyat biasa atau kumpulan berkuasa terpilih dan rakan kongsi perniagaan mereka?

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, banyak dana diperuntukkan kepada Sarawak untuk sekolah, jalan raya dan klinik selama beberapa dekad.

“Tetapi, audit mendapati ketirisan sehingga 60% dalam projek negeri. Ke mana perginya wang itu?”

Katanya, industri kayu dan kelapa sawit di Sarawak menjana berbilion-bilion pendapatan, tetapi pemilik tanah pribumi melihat hutan mereka dirampas dan kadar kemiskinan kekal tinggi.

Terdahulu, Senator Robert Lau menggesa RCI ditubuhkan untuk menyiasat bagaimana Petronas menggunakan lebih RM1 trilion keuntungan dijana daripada sumber minyak dan gas Sarawak.

Menurutnya, Sarawak mengorbankan sumbernya untuk pembangunan negara, tetapi kekal antara ekonomi paling perlahan berkembang di Malaysia.

Menurutnya, walaupun syarikat minyak negara itu sering digelar “angsa emas” yang mengekalkan ekonomi, angsa sebenar ialah Sarawak dan Petronas “sekadar mengumpul telur”.

Katanya, RCI perlu meneliti pengurusan keuntungan Petronas dan mengesyorkan pembaharuan untuk meningkatkan ketelusan, keadilan serta akauntabiliti dalam perkongsian hasil dengan negeri pengeluar minyak.

Lau berkata, wujud ketidakseimbangan ketara yang menafikan peluang Sarawak untuk berindustri, membangunkan ekonomi tempatan, membina infrastruktur serta meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.