Tubuh RCI siasat Petronas guna keuntungan Sarawak, kata senator

Tubuh RCI siasat Petronas guna keuntungan Sarawak, kata senator

Robert Lau berkata Sarawak kekal antara ekonomi paling perlahan berkembang di Malaysia walaupun lebih RM1 trilion keuntungan dijana daripada sumber minyak dan gas negeri itu.

robert lau
Senator Robert Lau berkata RCI perlu meneliti pengurusan keuntungan Petronas dan mengesyorkan pembaharuan bagi meningkatkan ketelusan, keadilan serta akauntabiliti dalam perkongsian hasil dengan negeri pengeluar minyak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang senator menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat bagaimana Petronas menggunakan lebih RM1 trilion keuntungan dijana daripada sumber minyak dan gas Sarawak.

Robert Lau berkata, Sarawak mengorbankan sumbernya untuk pembangunan negara, tetapi kekal antara ekonomi paling perlahan berkembang di Malaysia.

Menurutnya, walaupun syarikat minyak negara itu sering digelar “angsa emas” yang mengekalkan ekonomi, angsa sebenar ialah Sarawak dan Petronas “sekadar mengumpul telur”.

“Keuntungan lebih RM1 trilion diperoleh daripada sumber ini dan disalurkan kepada hasil persekutuan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Negara.

“Dari 1970 hingga 1985, eksport petroleum melonjak hampir 29% setiap tahun, sebahagian besarnya dari Sarawak, membantu negara apabila harga bijih timah dan getah jatuh.

“Namun, Sarawak hanya mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 0.9% setahun (dari 2016 hingga 2020),” katanya menurut Dayak Daily.

Justeru, beliau berkata, RCI perlu ditubuhkan bagi meneliti pengurusan keuntungan Petronas dan mengesyorkan pembaharuan untuk meningkatkan ketelusan, keadilan serta akauntabiliti dalam perkongsian hasil dengan negeri pengeluar minyak.

Lau turut mempersoalkan kenapa gas asli Sarawak dieksport, manakala gas dari Terengganu dikekalkan untuk pertumbuhan industri domestik.

Katanya, wujud ketidakseimbangan ketara yang menafikan peluang Sarawak untuk berindustri, membangunkan ekonomi tempatan, membina infrastruktur serta meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Peguam itu turut mengkritik kenyataan berhubung usaha Sarawak meningkatkan kawalan ke atas sumber minyak dan gasnya melalui Petroliam Sarawak Bhd (Petros) boleh menjejaskan Petronas serta merugikan negara.

Lau berkata, kenyataan itu mengabaikan hak dan sentimen negeri Borneo, bercanggah semangat Perjanjian Malaysia 1963 serta mencerminkan pengakuan bahawa Petronas diharapkan menjadi penyelamat kedudukan kewangan negara.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad, ketua pembangkang Hamzah Zainudin, dan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari antara yang berkata cita-cita Sarawak tidak patut menjejaskan Petronas.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg, bagaimanapun berkata negeri itu tidak bercadang menggantikan Petronas, tetapi bekerjasama dengannya.

Pada 15 Ogos lalu, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, rundingan antara Petronas dan Petros untuk memuktamadkan kerjasama berdasarkan pengisytiharan bersama yang dimeterai Mei lalu masih diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.