
Bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil dan selamat, kebolehpercayaan merupakan tonggak utama strategi TNB. Selain kekuatan kewangan dan sumbangan kepada komuniti, bekalan yang berdaya harap adalah asas penting dalam menyokong isi rumah, industri serta pertumbuhan negara.
Dalam 1H 2025, TNB telah melabur sebanyak RM5.2 bilion dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, keselamatan bekalan dan peralihan tenaga.
Pada 28 Mei, TNB merekodkan permintaan maksimum baharu sebanyak 21,049MW, sekaligus menekankan kepentingan pelaburan ini.
Usaha dalam aspek ini juga membawa kepada penambahbaikan jelas apabila prestasi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) meningkat kepada 23.56 minit bagi setiap pelanggan pada 1H 2025 berbanding 23.92 minit pada tahun lalu.
Dividen dikembalikan kepada rakyat
Bagi 1H 2025, TNB mencatatkan pulangan sebanyak RM2.2 bilion, disokong permintaan kukuh, kecekapan operasi serta pengurusan kewangan berhemat. Prestasi stabil ini membolehkan lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dasar dividen syarikat.
“Komitmen dividen kami adalah untuk terus memberi ganjaran kepada pemegang saham. Seterusnya, ia turut dipulangkan secara langsung kepada rakyat dan untuk pembinaan negara. Ini mencerminkan etos TNB untuk memberi nilai sambil menyalurkan semula untuk manfaat negara,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Dianggarkan RM1.5 bilion dalam bentuk dividen akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, termasuk institusi pelaburan berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Ini mencerminkan komitmen berterusan TNB untuk menjana pulangan kepada pemegang saham dan seterusnya rakyat, dengan jutaan rakyat mendapat manfaat melalui pencen dan simpanan.
Pengukuhan ringgit, daripada RM4.47/USD pada Disember 2024 kepada RM4.21/USD pada Jun 2025, membantu mengurangkan kos pembiayaan bagi pinjaman TNB dalam mata wang asing. Pergerakan tukaran asing yang positif ini mengurangkan kos pembiayaan dan menyumbang kepada perbelanjaan faedah yang lebih rendah.
Penjimatan ini diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan serta aliran tunai yang lebih baik, mengukuhkan lagi kemampuan TNB untuk mengekalkan pembayaran dividen di samping terus melabur dalam projek infrastruktur jangka panjang dan peralihan tenaga.
Memperkasa pelanggan dan komuniti
Selain menjana pulangan kewangan, TNB terus menyumbang melalui inisiatif bersasar yang menyokong rakyat dan membina komuniti yang lebih kukuh, sambil memacu kesiapsiagaan negara menuju masa depan yang lebih mampan dan berteraskan digital.
Sejajar matlamat ini, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) akan memperkenalkan kursus baharu di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) bermula September. Program ini dirangka bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang kian meningkat serta seiring dengan aliran teknologi global.
Melalui pemantapan kemahiran lanjutan dalam kalangan pelajar, Uniten mempersiapkan graduan yang sedia untuk kerjaya bernilai tinggi dalam sektor tenaga dan bidang lain, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital dan lestari.
TNB turut memperkukuh impak sosialnya melalui bantuan zakat, dengan RM5.4 juta disalurkan kepada lebih 21,500 penerima asnaf. Bantuan ini merangkumi projek perumahan di bawah Projek Baiti Jannati, pembaikan dan pendawaian semula rumah, bantuan kepada golongan miskin dan kumpulan memerlukan, serta sokongan bagi tujuan Fisabilillah seperti penambahbaikan masjid dan surau, bantuan kepada institusi tahfiz serta inisiatif kebajikan lain.

Sepanjang 1H 2025, jumlah bagi inisiatif komuniti yang lain mencecah RM99.7 juta. Jumlah sumbangan termasuk:
- Sokongan pendidikan: Menerusi bantuan berjumlah RM64.3 juta yang disalurkan melalui Uniten dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), seramai 1,515 pelajar di seluruh negara dapat meneruskan pengajian.
- Kebajikan pendidikan: Sejumlah RM3 juta diagihkan kepada 276 pelajar kurang berkemampuan dan 50 sekolah di bawah Program Sekolah Angkat TNB.
- Sumbangan khidmat komuniti: Sebanyak RM2.5 juta disalurkan kepada 93,000 penerima dalam bentuk bantuan makanan, acara komuniti dan program keagamaan.
- Inisiatif penjagaan kesihatan: Kira-kira RM335,000 diperuntukkan kepada program yang memberi manfaat kepada sekitar 2,710 individu, termasuk pemberian peralatan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar USM, sokongan pesakit di Hospital Sultan Zainal Abidin serta inisiatif oleh Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita dan Hari Kanser Sedunia 2025.
- Bantuan bencana: RM541,250 disalurkan bagi membantu 3,156 individu yang terjejas akibat banjir dan ribut di beberapa negeri serta pelarian Palestin.
- Pembangunan sukan: Lebih RM4.8 juta disalurkan untuk pembangunan hoki. Sumbangan kepada Konfederasi Hoki Malaysia, klinik latihan dan penyediaan peralatan memberi impak kepada hampir 15,750 atlet dan peminat.
- Pulau Tenaga Hijau (PTH): Pelaburan sebanyak RM360,513 disalurkan untuk pemasangan bumbung solar di SK Pulau Redang dan Masjid Kg Baru Pulau Redang yang memberi manfaat secara langsung kepada 723 individu, menyokong penggunaan tenaga yang lebih bersih, di samping memupuk kesedaran kelestarian.
- Merakyatkan solar: Sebanyak RM2.17 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek panel solar pada bumbung dan lampu jalan berkuasa solar di tapak komuniti berimpak tinggi termasuk hospital Anjung Kasih, rumah ibadat, kampung pulau, sekolah luar bandar serta hab pendidikan.
Pengiktirafan dan hala tuju masa depan
Usaha-usaha ini yang merangkumi kebolehpercayaan grid, peralihan kepada tenaga bersih, disiplin kewangan dan inisiatif berfokuskan komuniti, secara keseluruhannya memperkukuhkan visi jangka panjang TNB untuk membina ekosistem tenaga moden, berdaya harap dan mampan, sejajar strategi Reimagining TNB 2.0.
Komitmen ini turut diiktiraf pada Julai 2025 apabila Brand Finance menobatkan TNB sebagai jenama utiliti kedua terkukuh di dunia dan jenama utiliti nombor satu Asean, dengan nilai jenamanya meningkat 35% kepada USD2.3 bilion serta menerima penarafan AAA.
Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan asas kukuh dan kepercayaan terhadap kepimpinan TNB, tetapi juga kesediaannya untuk memacu pertumbuhan jangka panjang serta membangunkan ekosistem tenaga yang mampan dan inklusif.