Tiada undang-undang kalis, Ahli Parlimen kerajaan pertahan RUU Perolehan

Tiada undang-undang kalis, Ahli Parlimen kerajaan pertahan RUU Perolehan

Wakil rakyat Beruas berkata RUU itu langkah ke depan sambil tolak dakwaan ia beri kuasa tanpa kawalan kepada menteri.

Ngeh Koo Ham
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, berkata RUU Perolehan perlu bagi beri kuasa kepada pegawai tertentu laksana penguatkuasaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen penyokong kerajaan mempertahankan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan di sebalik kritikan ia beri kuasa berlebihan kepada menteri, sambil menyatakan tiada undang-undang menjamin salah laku tidak akan berlaku.

Bercakap kepada FMT, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, berkata RUU Perolehan tidak berbeza dengan undang-undang lain memberikan kuasa kepada menteri bertanggungjawab membuat keputusan muktamad tertakluk semak dan imbang.

Ngeh juga berkata, RUU itu akan menambah baik perolehan kerajaan kerana aktiviti Ali Baba dan campur tangan dalam perolehan kerajaan akan dijadikan kesalahan. Sebagai seorang peguam terlatih, Ngeh berkata undang-undang dicadangkan itu perlu bagi memberi kuasa kepada pegawai tertentu melaksanakan penguatkuasaan.

“Dalam apa jua undang-undang, kita perlu mempercayai dan memberikan kuasa kepada individu tertentu. Dalam hal ini, kuasa diberikan kepada ketua setiausaha Perbendaharaan dan pihak berkuasa kewangan negeri. Kita percaya mereka akan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

“Tidak ada cara yang benar-benar jamin seseorang pegawai tidak akan salah guna kuasanya atau terlibat dalam rasuah. Kita ada kes di mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri terlibat rasuah, tetapi kita mempunyai langkah pencegahan…di mana undang-undang terpakai kepada semua. Sesiapa sahaja buat salah diambil tindakan ikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU itu, dengan menyatakan ‘berbahaya secara institusi’ jika diluluskan dalam bentuknya yang sedia ada.

C4 juga menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan mewujudkan daftar kontraktor dan pembekal, serta kuasa penyiasatan yang diberikan kepada pegawai Perbendaharaan, boleh terdedah kepada penyalahgunaan. Katanya, peruntukan tersebut akan melemahkan matlamat RUU, iaitu ketelusan dan kebertanggungjawaban.

RUU tersebut juga dibantah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta Transparency International Malaysia (TI-M).

IDEAS berkata, proses semakan perlu merangkumi rundingan dengan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan RUU berkenaan mencerminkan amalan terbaik dan kepentingan awam, manakala TI-M pula berkata, penting mendapatkan pandangan rakyat terutama berkait undang-undang yang akan menentukan ke mana berbilion ringgit dana awam akan dibelanja.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dari PKR, berkata di Dewan Rakyat di bawah undang-undang dicadangkan berkenaan, Parlimen tidak akan dapat membahaskan tender dan pembelian kerajaan.

“Satu peruntukan dalam undang-undang itu secara berkesan meletakkan menteri kewangan di atas undang-undang,” katanya, sambil menyifatkannya sebagai satu ‘ancaman’ kepada usaha reformasi.

Draf undang-undang itu menetapkan rangka kerja penuh perolehan melalui 12 bahagian dan 93 fasal, yang terpakai kepada kementerian, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak berkuasa tempatan yang membelanjakan dana awam di peringkat persekutuan dan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.