2 kerusi tak cukup, DAP mesti menang lebih pada PRN Sarawak

2 kerusi tak cukup, DAP mesti menang lebih pada PRN Sarawak

Setiausaha Organisasi DAP Sarawak Violet Yong juga bidas Parti Sarawak Bersatu yang sebelum ini pembangkang namun bubar parti untuk menyertai GPS.

Violet Yong - Pending MP -
Setiausaha Organisasi DAP Sarawak, Violet Yong, berkata parti itu telah membuktikan bahawa ia merupakan satu-satunya parti pembangkang yang teguh berpegang kepada prinsip.
PETALING JAYA:
DAP Sarawak perlu menang lebih daripada dua kerusi pada PRN akan datang bagi mengukuhkan semak dan imbang terhadap kerajaan, kata Setiausaha Organisasi DAP negeri, Violet Yong.

Adun Pending empat penggal itu, berkata perwakilan DAP ketika ini tidak mencukupi untuk berfungsi secara berkesan sebagai pembangkang kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Suara saya (dan suara Adun Padungan Chong Chieng Jen) sahaja dalam DUN tidak cukup.

“Terdapat 82 kerusi secara keseluruhan dengan GPS ketika ini menguasai 80 kerusi, manakala DAP hanya ada dua kerusi,” katanya menurut Dayak Daily.

Yong juga membidas parti yang kini sudah dibubarkan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) diterajui bekas menteri kewangan kedua negeri, Wong Soon Koh, sambil menyatakan DAP adalah satu-satunya parti pembangkang yang teguh berdiri di atas prinsipnya.

PSB menang tiga kerusi pada PRN 2021 apabila bertanding menentang GPS dan DAP, dengan Wong dilantik sebagai ketua pembangkang.

Namun, PSB dibubarkan pada 2024 selepas pemimpin menyertai beramai-ramai menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), sebuah komponen GPS.

Yong berkata, justeru ia menjadi sebab DAP Sarawak perlu berjuang menang lebih banyak kerusi kerana parti berkenaan menjadi satu-satunya parti yang bersedia bersuara bagi pihak rakyat Sarawak dalam blok pembangkang.

Pencapaian DAP Sarawak yang hanya menang sekadar dua kerusi pada PRN 2021 menjadi antara prestasi terburuknya di negeri Malaysia Timur, serta paparan pengurangan ketara, berbanding tujuh kerusi dimenangi pada 2016.

Rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan, iaitu PKR dan Amanah, pula gagal memenangi sebarang kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.