Saya bukan boneka, Anwar bidas pembangkang berkait RUU PSB

Saya bukan boneka, Anwar bidas pembangkang berkait RUU PSB

Perdana menteri berkata beliau bukan boneka sanggup diperalat sesiapa untuk usir orang Melayu bagi memberi laluan kepada Cina ambil alih perumahan mereka.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata pembangkang seharusnya beri cadangan jika ada penambahbaikan boleh dipinda dalam Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pembangkang yang mendakwa kerajaan cuba menyingkirkan orang Melayu melalui cadangan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Anwar berkata, beliau bukan boneka yang sanggup diperalat sesiapa untuk mengusir orang Melayu bagi memberi laluan kepada Cina mengambil alih perumahan mereka.

“Jangan kita buat tuduhan nak ketepikan orang Melayu, nak tindas mereka. Tak betul. Saya rasa antara tugas saya menekankan nak selamatkan orang Melayu di bandar. Saya tidak mahu Melayu hidup merempat.

“Jadi, jangan kita buat andaian strategi Cina nak rampas hak Melayu. Saya tak setuju. Saya bukan boneka,” katanya pada waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta kerajaan menangguhkan pembentangan RUU PSB.

Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata, pihaknya boleh bersetuju jika terdapat perkara yang tidak dipersetujui dalam PSB dibincang terlebih dahulu sebelum RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar berkata pembangkang seharusnya memberikan cadangan jika ada penambahbaikan yang boleh dipinda dalam RUU tersebut, bukan membuat tuduhan tidak berasas seperti kerajaan menzalimi, mengkhianati dan menjahanamkan orang Melayu.

“Kalau ada cadangan baik kita terima. Bukan maki hamun. Boleh tegur saya terima baik. Ada cadangan boleh beri dan kalau perlu…kita pinda,” katanya.

Selasa lalu, Ahli Parlimen pembangkang bersedia digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana menentang RUU PSB yang akan dibentangkan hari ini.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya akan tetap menentang RUU itu secara habis-habisan untuk menuntut ia ditarik balik dan tidak dibahaskan.

RUU PSB dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 21 Ogos lalu.

Bacaan kedua dan ketiga dijadualkan hari ini dan Nga sebelum ini berkata ia menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.