
Peguam Sangeet Kaur Deo, berkata bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, memohon beberapa perintah berhubung afidavit disahkan Azilah pada 23 Sept 2024, yang turut merangkumi akuan berkanun bertarikh 17 Okt 2019.
“Permohonan kebenaran itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa,” katanya dalam kenyataan.
Pada Januari lalu, dilaporkan keluarga Altantuya menggesa kerajaan melancarkan siasatan terhadap pelbagai dakwaan dibuat Azilah dalam afidavitnya.
Mereka mendakwa, Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan tidak membantah dakwaan Azilah dalam afidavit bahawa beliau menerima arahan daripada ‘pegawai kanan kerajaan’ untuk ‘membunuh dan melupuskan’ Altantuya.
Pada Oktober lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Azilah, seorang daripada dua bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) disabitkan kesalahan membunuh Altantuya, 18 tahun lalu, dan menukar hukuman mati yang sebelum ini dikenakan ke atasnya kepada penjara 40 tahun.
Azilah, 48, turut diperintahkan disebat mandatori minimum 12 sebatan.
Shaariibuu telah menulis sepucuk surat kepada mahkamah sebagai sokongan terhadap permohonan Azilah.
Hari ini, Sangeet berkata, Azilah bergantung kepada afidavit berkenaan bagi menyokong rayuannya terhadap hukuman mati.
Ketika itu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel, berkata Mahkamah atasan bergantung pada kandungan afidavit tambahan dan akuan berkanun tersebut ketika mempertimbangkan prinsip perkadaran untuk mengurangkan hukuman Azilah.
Sangeet turut berkata, kedua-dua dokumen tersebut tidak dipertikai dan tidak disangkal pihak pendakwaan ketika Azilah memohon penggantian hukumannya didengar di hadapan Mahkamah Persekutuan.
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan Azilah dan rakan setugasnya, Sirul Azhar Umar, atas kesalahan membunuh Altantuya.
Sabitan tersebut diketepikan Mahkamah Rayuan pada 2013, namun dikembalikan Mahkamah Persekutuan dua tahun kemudian, dengan kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman mati. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan muktamad diumumkan, dan masih berada di negara itu hingga hari ini.