
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan berkata inisiatif berkenaan juga akan dijalankan dengan pemantauan jelas, selain kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan termasuk Unit Integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Komitmen kerajaan adalah jelas, iaitu memastikan komuniti India tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Setiap sen peruntukan akan diurus dengan penuh integriti supaya sampai ke tangan penerima sasaran dan memberikan impak berkekalan,” menurut kenyataan.
Perdana menteri ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 19 Ogos lepas mengumumkan penaiktarafan prasarana, kemudahan awam dan keselamatan kampung India bernilai RM5 juta, dan penambahbaikan peralatan makmal teknologi maklumat dan komunikasi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bernilai RM5 juta.
Inisiatif lain termasuk pemerkasaan rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti setempat (Program Dharma Madani) bernilai RM20 juta, serta penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil kediaman pekerja ladang dengan nilai RM10 juta.
Ramanan berkata pelaksanaan empat inisiatif berkenaan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India (Mitra) atas arahan perdana menteri yang dipengerusikannya di Parlimen, hari ini.
“Fokus utama kami ialah memastikan masyarakat India, khususnya golongan B40 benar-benar menerima manfaat secara langsung tanpa sebarang kerenah birokrasi,” katanya.