
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pegawai gred Jusa B itu memegang jawatan tinggi dan siasatan masih diteruskan.
“Dia pengarah kanan di bawah pejabat Datuk Bandar. Sebahagian siasatan SPRM kini membabitkan pembelian hartanah, terutamanya sebuah kondominium dikaitkan dengannya,” katanya menurut Berita Harian.
Media melaporkan tiga individu, termasuk seorang pegawai kanan DBKL berusia 50-an direman empat hari kerana disyaki terbabit rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.
Difahamkan, baki dua individu ialah seorang pemilik syarikat dan seorang wanita berusia 40-an yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
Mereka bertiga dipercayai terbabit rasuah sejak 2014, dengan pemilik syarikat disyaki menyogok penjawat awam itu bagi membantu mendapatkan projek di DBKL.
SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, Lexus RX500h, Mini Cooper, beg tangan, kasut berjenama Hermès dan Louis Vuitton. Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat bernilai lebih RM7 juta turut dibekukan.