
G Gnanaraja berkata beliau menyerahkan RM1 juta kepada Lim pada 18 Ogos 2017 di Mont Kiara di sini.
Beliau berkata bayaran kedua dibuat ketika Lim datang ke rumahnya 11 hari kemudian.

Menurut Gnanaraja, Lim tiba di rumahnya pada awal pagi 29 Ogos, menaiki sebuah kereta yang dipandu ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli.
Gnanaraja berkata tujuan kedatangan Lim itu adalah untuk membincangkan ‘penubuhan sebuah syarikat dan akaun bank’ bagi menguruskan perkara berkaitan projek terowong dasar laut itu.
“Datuk Zarul meminta syarikat ini digunakan untuk membayar YB Lim,” katanya, merujuk kepada Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd.
“YB juga berkata beliau memerlukan seseorang yang boleh dipercayai untuk menguruskan dana yang akan disalurkan kepadanya, dan saya adalah orang yang sesuai kerana saya bukan ahli mana-mana parti politik,” kata Gnanaraja.
Ahli perniagaan itu memberitahu mahkamah bahawa Lim mahu akaun bank itu dibuka bagi menerima kira-kira RM30 juta, yang akan disalurkan melalui Zarul.
“YB Lim juga berkata Datuk Zarul bersetuju dengan permintaannya untuk mendapat 10% pegangan daripada projek terowong dasar laut itu,” katanya.
Menurut Gnanaraja, perbincangan antara tiga lelaki itu berlangsung selama satu jam.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Lim turut bergambar bersama ahli keluarga Gnanaraja ketika lawatan itu.
Di akhir pertemuan, saksi berkata beliau mengambil sebuah beg berisi RM1 juta dari keretanya dan menyerahkannya kepada Lim ketika beliau beredar.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta 10% pegangan keuntungan daripada projek terowong dasar laut dan menerima rasuah RM3.3 juta daripada Zarul.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyalahgunakan RM208.7 juta tanah milik kerajaan negeri secara tidak jujur.