
Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar, berkata ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Syamsul menggali semula kuburnya untuk bedah siasat kedua.
“Polis memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah mahkamah tersebut dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus serta berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘rule of law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mahkamah yang dipengerusikan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet mengeluarkan perintah supaya jenazah Syamsul yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.
“Mahkamah turut memerintahkan bedah siasat dilakukan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari selepas jenazah dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Naran Singh atau wakilnya.
“Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat berkenaan diarah mengeluarkan laporan post-mortem dalam tempoh munasabah, dengan salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co.”
Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kedua serta mencadangkan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul, 22, dilaporkan meninggal dunia 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu keesokannya.