Aktif semak-imbang elak label ‘MCA 2.0’, wakil rakyat DAP diberitahu

Aktif semak-imbang elak label ‘MCA 2.0’, wakil rakyat DAP diberitahu

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian berkata ia penting untuk tunjuk parti bersuara dalam kerajaan.

DAP MP
Walaupun tidak boleh dilihat menjuarai kepentingan bukan Melayu, Ahli Parlimen DAP berada pada kedudukan boleh melobi di sebalik tabir, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP perlu lebih aktif melaksanakan peranan semak dan imbang bagi mengelak kesilapan pernah dilakukan MCA ketika parti itu berada dalam kerajaan, kata seorang penganalisis politik.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata parti itu boleh menangkis persepsi mereka sedang ‘tunduk’ kepada kerajaan dengan mengambil peranan pengawasan yang lebih tegas.

“Ini akan membolehkan DAP mengelak daripada dikritik sepertimana MCA dahulu,” katanya kepada FMT.

DAP sebelum ini pernah melabel MCA sebagai ‘budak suruhan’ Umno, yang menjadi tunjang utama Barisan Nasional (BN).

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian.

Sivamurugan menyeru Ahli Parlimen DAP memperkukuh kredibiliti parti sebagai parti berbilang kaum dengan memberi keutamaan kepada isu nasional — seperti pendidikan, kesihatan, dan pembangunan bandar — berbanding agenda kaum.

“Langkah ini mampu memaparkan DAP menjauhkan diri dilihat sebuah parti berasaskan satu kaum,” katanya, merujuk persepsi DAP adalah parti orang Cina.

Sivamurugan mengulas kenyataan bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker, yang mendakwa DAP telah berubah menjadi ‘MCA 2.0’.

Kenyataan Ti itu dibuat susulan penegasan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, bahawa parti tersebut tidak memerlukan sokongan MCA untuk berfungsi atau berkembang.

‘Beza ketara DAP-MCA’

James Chin
James Chin.

Menjelaskan label ‘MCA 2.0’, James Chin dari University of Tasmania, berkata DAP kini berdepan cabaran hampir sama dengan pengalaman MCA ketika berada dalam kerajaan BN.

Namun, katanya perbezaan ketara antara duanya adalah DAP menjadi parti terbesar dalam kerajaan perpaduan, manakala MCA sentiasa berfungsi dalam gabungan didominasi Umno.

“DAP tidak boleh dilihat secara terbuka memperjuangkan kepentingan bukan Melayu kerana ia boleh menimbulkan reaksi balas terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” kata Chin kepada FMT, sambil menambah DAP berada dalam kedudukan untuk melobi ‘di belakang tabir’.

“Berbanding kenyataan terbuka, Ahli Parlimen DAP boleh beri taklimat secara langsung kepada anggotanya mengenai apa mereka lakukan bagi mengukuhkan mengekalkan sokongan dalaman. Pemimpin DAP kemudiannya boleh memberi taklimat kepada rakan sejawat Melayu mereka dalam Kabinet.”

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Felo dalam Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, tidak bersetuju DAP menjadi kuasa politik yang lemah seperti didakwa.

Beliau berkata, DAP tidak sama seperti MCA, yang sentiasa bergantung kepada Umno untuk sokongan pilihan raya dan, akibatnya terikat untuk tunduk kepada kerajaan diterajui Umno.

“DAP berdiri atas kekuatannya sendiri. Mereka meraih kepercayaan masyarakat Cina melalui kredibiliti mereka sendiri, bukan kerana PKR, Amanah atau Umno.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.