Ahli Parlimen PN cadang benarkan Jawi dalam kad pengenalan

Ahli Parlimen PN cadang benarkan Jawi dalam kad pengenalan

Mumtaz Nawi kata Singapura pun benarkan tulisan etnik dalam kad pengenalan republik itu.

Ahli Parlimen Mumtaz Nawi kata membenarkan Jawi dalam kad pengenalan memperkukuh identiti negara dan keselamatan dokumen rasmi. (Gambar Parlimen Malaysia)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional mencadangkan kerajaan membenarkan tulisan Jawi dalam kad pengenalan fizikal dan digital.

Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) menarik perhatian Dewan Rakyat ke Singapura, mengatakan republik itu pun membenarkan tulisan etnik dalam kad pengenalannya.

“Usaha ini bukan hanya simbol budaya, tetapi langkah strategik untuk memperkukuh legasi bangsa, identiti negara dan keselamatan dokumen rasmi warganegara,” katanya semasa membahaskan RUU Rang Undang-Undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan).

Wakil rakyat PAS ini percaya tulisan Jawi akan menambah lapisan keselamatan kerana sukar dimanipulasi, serta memberi nilai tambah dalam hubungan antarabangsa.

“Malaysia wajar mengambil langkah lebih ke hadapan untuk memperkukuh identiti rasmi kita,” tambahnya.

RUU yang dibaca untuk kali kedua ini mahu selarikan Akta Pendaftaran Negara (Akta 78) dengan inisiatif dan dasar kerajaan, terutama berkaitan MyDigital ID.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai berkata MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada kemudahan awam dalam talian.

Selain memperkukuh pengiktirafan statutori kepada MyDigital ID sebagai satu pengenalan yang sah, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah semalam menerangkan RUU ini antara lain mahu memasukkan takrif baharu data biometrik, dan menambah baik kuasa menteri dalam membuat peraturan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.