Tadbir urus DBKL perlu reformasi besar, kata Nik Nazmi

Tadbir urus DBKL perlu reformasi besar, kata Nik Nazmi

Ahli Parlimen Setiawangsa berkata wakil rakyat dan penduduk bandar itu tiada suara dalam bagaimana Kuala Lumpur ditadbir.

DBKL BUILDING
Bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2025 adalah RM2.8 bilion.
KUALA LUMPUR:
Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata tadbir urus Kuala Lumpur memerlukan reformasi besar kerana Ahli Parlimen dan penduduk hampir tidak mempunyai suara berkaitan cara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguruskan bajet hampir RM3 bilionnya.

Bekas menteri itu memberitahu Dewan Rakyat, bajet DBKL bagi 2025 berjumlah RM2.8 bilion, hampir sama dengan Selangor (RM3 bilion) dan lebih besar daripada Johor (RM1.99 bilion).

Namun, katanya, Ahli Parlimen serta warga kota tidak mempunyai suara dalam bagaimana bandar itu ditadbir.

Nik Nazmi berkata lembaga penasihat DBKL hanya mampu memberi cadangan kepada datuk bandar tetapi tidak seperti majlis di negeri lain, ahli majlis berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang.

“Di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan dan akta-akta lain, datuk bandar berkuasa penuh. Kalau dapat datuk bandar yang baik dan bagus, Alhamdulillah. Tetapi, jika sebaliknya dan kita berhadapan dengan masalah,” katanya ketika membahaskan pembentangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan hal ehwal bandar itu.

Nik Nazmi berkata sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan dirujuk mengenai urusan tanah tetapi kini mereka diketepikan daripada proses tersebut.

“Kami hanya tahu bila bantahan sudah berlaku atau apabila pembangunan sudah berjalan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan menunaikan janji untuk mewujudkan sistem majlis bagi DBKL sebagaimana disyorkan jawatankuasa pilihan Parlimen, serta mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Sementara itu, Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) turut menyenaraikan 15 perkara yang menjadi kebimbangan, termasuk kerugian kerajaan akibat tanah dijual di bawah harga pasaran, tanah rizab seperti lot polis dan kolam takungan banjir diserah kepada pemaju, serta menggunakan rundingan terus dan bukannya tender terbuka.

Katanya, banyak kolam takungan banjir gagal memenuhi piawaian Jabatan Pengairan dan Saliran, bantahan awam diketepikan dalam kes Kampung Bohol, dan sistem OSC 3.0 Plus yang membolehkan orang awam melihat kelulusan perancangan ditutup sejak 2023.

Idris berkata kaedah penilaian tanah sejak 1995 yang lapuk menyebabkan tanah dijual terlalu murah, manakala projek seperti 4,925 unit di Jalan Kuchai Lama menambah kesesakan jalan raya dan menyebabkan banjir kilat semakin buruk.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata siasatan PAC mendapati kawalan lemah terhadap urusan tanah di Kuala Lumpur.

Beliau menggesa penubuhan satu badan baharu yang dianggotai Ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk memantau urusan tanah, pengembalian semula pengawasan menteri terhadap panel tanah, pindaan undang-undang bagi memperkenalkan sistem majlis dalam DBKL, serta pendedahan rekod tanah kepada orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen diberi ruang dalam Dewan Rakyat untuk membentangkan laporan mereka hari ini dan esok. Amalan ini bertujuan memberi lebih pendedahan awam terhadap kerja jawatankuasa berhubung isu semasa.

Setiap pengerusi diberi tujuh minit untuk membentangkan laporan, diikuti perbahasan ringkas melibatkan dua Ahli Parlimen kerajaan dan dua daripada pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.