
Menurut Child Rights Innovation and Betterment Foundation (CRBF), ‘Kanun Buli’ itu harus distrukturkan seperti Kanun Keseksaan dan menetapkan definisi khusus bagi jenis-jenis buli yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak di sekolah.
CRBF berkata, pihak sekolah kemudian boleh merujuk kepada kanun ini untuk menentukan tindakan yang perlu diambil dalam kes-kes buli.
“Di Malaysia, pelbagai jenis sekolah terletak di bawah kementerian dan agensi yang berbeza. Dasar-dasarnya tidak seragam, namun buli berleluasa di semua sekolah. Sama seperti keselamatan kebakaran atau jenayah, dasar dan langkah yang sama harus diguna pakai di seluruh negara.
“Perlu ada satu standard kebangsaan untuk melindungi pelajar dan menangani buli di semua sistem sekolah. Dalam standard kebangsaan itu, mesti ada syarat minimum yang boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.
NGO itu berkata, perlu ada akibat yang adil untuk pembuli serta amalan pemulihan bertujuan menghentikan tingkah laku sedemikian, memperbaik kemudaratan dan menyokong pembelajaran.
Kumpulan itu berkata, tindakan ini akan bergantung pada jenis dan tahap keseriusan kes buli, berdasarkan Kanun Buli yang dicadangkan itu, dengan pelajar hanya digantung atau dibuang sekolah dalam kes yang serius atau berulang.
Menurut NGO itu, buli boleh berlaku secara fizikal, lisan, bahkan di alam siber, dengan setiap satunya mempunyai tahap kesan yang berbeza terhadap mangsa.
Tegasnya, ‘tindakan kecil boleh cepat membawa kepada situasi yang buruk’ dan sebarang jenis buli ialah kesalahan yang serius.
“Buli merampas rasa selamat, maruah, dan peluang untuk belajar daripada kanak-kanak. (Tindakan sedemikian) meredamkan suara, menghancurkan kepercayaan dan boleh meninggalkan kesan kepada seorang kanak-kanak selama bertahun-tahun,” katanya.
“Penyelesaiannya bukan portal itu sendiri, tetapi orang yang bertindak – orang dewasa yang terlatih, garis masa yang jelas dan ruang selamat di setiap sekolah, disokong oleh satu standard kebangsaan yang tunggal supaya setiap kanak-kanak dilindungi dengan cara yang sama.”
Kenyataan ini dibuat berikutan beberapa kes buli di sekolah yang mendapat publisiti meluas, dengan kes paling mendapat perhatian melibatkan pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, yang maut selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah, bulan lepas.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan berhubung kematian Zara Qairina mendedahkan wujudnya unsur-unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual yang jelas.
Kementerian Pendidikan (KPM) sejak itu telah mengumumkan akan menyemak semula SOP mengenai keselamatan sekolah dan pengendalian isu disiplin, termasuk buli, manakala portal Aduan Buli miliknya akan membenarkan laporan dibuat tanpa mendedahkan identiti pelapor.