6 didakwa miliki lebih 11,000kg minyak masak tanpa lesen

6 didakwa miliki lebih 11,000kg minyak masak tanpa lesen

Mereka didakwa memiliki barang kawalan berjadual di sebuah premis Taman Industri Nautical, Rawang pada 11.30 pagi 20 Ogos lalu.

handcuff
Enam tertuduh termasuk seorang warga Malaysia menghadapi hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR:
Lima warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Selayang di sini hari ini atas satu pertuduhan memiliki barang kawalan, iaitu 11,883kg minyak masak tanpa lesen, minggu lepas.

Tertuduh terdiri daripada Wong Shu Chi dan lima lelaki warganegara Myanmar, iaitu Aye Min Thu, Aung Ko Ko, Htet Aung, Htet Naung dan Than Soe Aung.

Bagaimanapun, Wong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu manakala tiada pengakuan direkodkan bagi lima tertuduh lain selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan kes bagi lantikan jurubahasa Myanmar bagi lima tertuduh warga asing itu.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki barang kawalan berjadual, iaitu minyak masak sebanyak 11,883kg dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah di sebuah premis di Taman Industri Nautical, Rawang pada 11.30 pagi, 20 Ogos lepas.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual secara runcit atau borong tanpa lesen.

Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafizi Abdul Halim daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya manakala Wong diwakili peguam Mohd Amin Arsan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.