Anwar akui ‘sukar’ perangi rasuah

Anwar akui ‘sukar’ perangi rasuah

Perdana menteri kesal sifat tamak, salah guna kuasa masih berakar umbi dalam golongan berpengaruh politik.

rasuah money
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata usaha banteras rasuah berskala besar adalah cabaran kerana golongan berpengaruh akan cuba sekat tindakan penguatkuasaan.
SUBANG:
Selepas tiga tahun menjadi perdana menteri, Anwar Ibrahim menyifatkan usaha membanteras rasuah sebagai sesuatu yang mencabar.

Beliau meluahkan kekesalan kerana sifat tamak dan kecenderungan menyalahgunakan kuasa masih berakar umbi dalam kalangan mereka yang berpengaruh dari segi politik.

“Mencecah tiga tahun sebagai perdana menteri, ini (membanteras rasuah) sukar,” katanya.

“Membanteras rasuah besar tidak mudah kerana orang ini berpengaruh (dari segi) politiknya, kekayaannya, dan akan cuba sabotaj dan menghalang (tindakan diambil).”

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran CD:NXT, inisiatif perdana CelcomDigi Bhd bagi melahirkan generasi peneraju digital negara pada masa akan datang.

Beliau bagaimanapun memberikan jaminan kepada rakyat, pihak berkuasa akan mengerah segala kudrat untuk melenyapkan rasuah demi menegakkan tadbir urus yang berintegriti pada peringkat korporat, pentadbiran dan kerajaan.

“Perkara ini mesti dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu jurang digital serta kepentingan pembangunan bermutu dan transformasi ekonomi negara.

Anwar berkata, Malaysia perlu ‘meningkatkan lantai’ sekiranya ingin terus maju.

“Tumpuan kita sekarang adalah pada transformasi digital dan peralihan tenaga, yang melibatkan projek-projek berskala besar seperti Grid Tenaga Asean dari Vietnam ke Kelantan dan Singapura, serta lain-lain lagi,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru rakyat Malaysia agar membudayakan inovasi dan sentiasa menimba ilmu pengetahuan baharu.

“Kalau kita tidak lakukan ini dan ketinggalan, golongan belia tidak akan dapat pekerjaan yang baik dan masalah kemiskinan tidak dapat diatasi.

“Sebab itulah tumpuan harus diberikan pada ekonomi,” katanya.

Anwar juga bercakap tentang pendirian kerajaan mengenai keadilan dan hak asasi manusia di luar sempadan Malaysia, berkata negara tetap teguh dalam isu-isu seperti konflik Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.