Pemuda PAS serah memorandum bantah bacaan ke-2 RUU URA

Pemuda PAS serah memorandum bantah bacaan ke-2 RUU URA

Mereka mahu KPKT ambil kira desakan penangguhan dan tidak tergesa-gesa bentangkannya ke peringkat perbahasan.

Timbalan Ketua Setiausaha Mohd Hazli Ahmad @ Adnan 25825
Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik) Mohd Hazli Ahmad @ Adnan (kiri) mewakiki KPKT menerima memorandum daripada Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar.
PUTRAJAYA:
Pemuda PAS menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan bacaan kedua Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta URA), yang dijangka dibentangkan di Parlimen minggu ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata ia berkait kebimbangan awam terhadap tindakan menteri yang dilihat tergesa-gesa membawa RUU itu ke peringkat perbahasan, meskipun terdapat desakan ditangguhkan.

“Kami bantah sekeras-kerasnya tindakan ini. Minggu lalu bacaan pertama telah dibuat, dan kami dimaklumkan bacaan kedua akan dibuat sekitar Rabu ini,” katanya kepada media selepas penyerahan memorandum itu di KPKT.

Dakwanya, beliau mendapat maklumat Jawatankuasa Pemilihan Parlimen telah menghantar surat rasmi meminta penangguhan.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik) Mohd Hazli Ahmad @ Adnan. Turut serta NGO Perkasa dan Ummah.

Dalam pada itu, Nadzir menyifatkan tindakan menteri yang tidak menghiraukan gesaan penangguhan itu sebagai ‘membuldos’ proses Parlimen, seolah-olah tidak menghormati semak dan imbang institusi legislatif.

“Adakah Parlimen ini hanya tempat menteri datang untuk luluskan apa sahaja yang dia mahu? Jika benar, ini satu pengkhianatan kepada prinsip demokrasi berparlimen,” tegasnya.

Beliau turut membangkitkan beberapa kebimbangan berkaitan kandungan akta tersebut, termasuk kewujudan terlalu banyak ‘grey area’ atau pertindihan dengan akta lain.

Cadangan undang-undang itu dipacu oleh KPKT bagi menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar daif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.