Penyewa ‘khemah dalam rumah’ diminta buat laporan

Penyewa ‘khemah dalam rumah’ diminta buat laporan

Ubah suai rumah menjadi bilik kecil untuk disewa termasuk menggunakan konsep khemah atau pembahagian ruang seperti 'liang lahad' tidak dibenarkan.

sewa khemah dalam
Seorang pekerja yang mencari bilik sewa mendakwa ditawarkan khemah di dalam rumah pada kadar RM400 seunit. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Penyewa ‘khemah di dalam rumah’ diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya siasatan dan tindakan lanjut boleh diambil.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, berkata langkah itu penting bagi memastikan penguatkuasaan dapat dikenakan terhadap pihak yang melanggar peraturan bangunan serta undang-undang perumahan.

Katanya, perbuatan mengubah suai rumah menjadi bilik kecil termasuk menggunakan konsep khemah atau pembahagian ruang seperti ‘liang lahad’ tidak dibenarkan.

“Malah, menyewakan khemah di dalam rumah sebagai bilik sewa jelas tidak mematuhi piawaian keselamatan dan undang-undang perumahan negara.

“Sebarang pengubahsuaian premis tanpa kelulusan PBT adalah kesalahan kerana melanggar Akta Jalan, Parit dan Bangunan,” katanya kepada FMT.

Beliau menegaskan, ruang sempit tanpa pengudaraan yang baik serta penggunaan khemah dalam rumah boleh meningkatkan risiko kebakaran selain menghalang laluan keluar kecemasan.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pekerja baharu yang mencari bilik sewa ditawarkan khemah di dalam rumah pada kadar RM400 seunit, dengan empat hingga lima khemah ditempatkan dalam satu ruang tamu serta kemudahan tandas dikongsi.

Perkongsian itu mencetuskan kritikan pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak berperikemanusiaan dan cuba mengaut keuntungan berlebihan.

FMT sedang berusaha menghubungi individu ditawarkan sewaan khemah tersebut bagi mendapatkan maklum balas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.