Walau krisis tenaga global, projek KPKT tetap diteruskan

Walau krisis tenaga global, projek KPKT tetap diteruskan

Nga Kor Ming berkata, tiada projek kementeriannya perlu ditunda kerana semua projek dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

NGA KOR MING VISIT TAPAH ROAD MARKET
Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata, kementeriannya beri tumpuan kepada projek berteraskan rakyat yang sedang giat dilaksanakan.
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menegaskan projek di bawah kementeriannya tidak akan ditangguh susulan krisis tenaga global, malah akan terus dipergiat.

Setakat ini, katanya, tiada projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang perlu ditunda kerana semua projek dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat dan tidak termasuk dalam projek berskala besar.

“Kebanyakan projek KPKT berpaksikan kesejahteraan rakyat. Setakat ini saya rasa tak ada apa yang nak ditunda kerana kami memberi tumpuan kepada projek berteraskan rakyat, bukan projek mega yang berbilion-bilion dan ia sedang giat dilaksanakan, macam projek perumahan PRR (Projek Residensi Rakyat) akan kita teruskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan projek naik taraf Medan Selera Greentown Utama di Ipoh, lapor Bernama.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT M Noor Azman Taib dan Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah.

Sementara itu, Nga berkata, majlis pecah tanah projek PRR Tambun bernilai RM150 juta yang akan dilaksanakan pada Jun ini disasarkan menjadi penanda aras baharu bagi perumahan mampu milik berkualiti, lengkap dengan kemudahan seperti taman pusat dan tasik rekreasi.

“Saya akan minta datuk bandar (Ipoh) untuk bantu luluskan pelan bangunan secepat mungkin,” katanya.

“Kita mahu projek ini menjadi antara PRR terbaik, lengkap dengan kemudahan moden seperti taman rekreasi dan tasik, sekali gus menjadi penanda aras kepada perumahan mampu milik yang berkualiti seperti kita tekankan.”

Tahun lepas, Nga berkata, PRR pertama di Perak akan dibangunkan di Tambun dengan kos RM150 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.