Pemimpin Bersatu anggap dakwaan larang usul ‘serang’ Muhyiddin hanya spekulasi

Pemimpin Bersatu anggap dakwaan larang usul ‘serang’ Muhyiddin hanya spekulasi

Mohd Rafiq Mohd Abdullah nafi kewujudan arahan spekulasi larangan usul 'menyerang' Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Tahunan.

Timbalan Ketua Bersatu Selangor Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata Muhyiddin Yassin masih diperlukan sebagai poster boy untuk PRU16.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mendakwa wujud usaha memburukkan parti itu susulan penyebaran spekulasi larangan usul ‘menyerang’ Presiden Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Tahunan, bulan depan.

Timbalan Ketua Bersatu Selangor Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata semakannya dengan pemimpin di negeri itu, Melaka, Terengganu dan Kedah mendapati tiada arahan diberikan seperti dalam kandungan tangkap layar pesanan WhatsApp yang dikongsikan di media sosial.

Menurut tangkap layar dikongsi Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin itu, individu terbabit mendakwa ketua bahagian yang berbuat demikian ‘diugut’ tidak akan bertanding pilihan raya memandangkan Muhyiddin berkuasa menandatangani watikah pencalonan.

“Memang sengaja ditimbulkan dan sengaja dibuat cerita…saya semak dengan ketua bahagian yang kata tak terima.

“Jadi ini hanya spekulasi, tidak berasas dan mungkin didorong kepentingan peribadi pihak tertentu,” katanya kepada FMT sambil menegaskan Muhyiddin masih diperlukan sebagai poster boy untuk PRU16.

Ketua Bersatu Jasin Dr Yadzil Yaakub juga berkata beliau tidak menerima ‘ugutan’ terbabit.

“Saya tak pasti hal ini, tak ada pula (terima amaran), mungkin belum sampai,” katanya yang juga ketua pembangkang DUN Melaka.

FMT telah menghubungi Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz untuk mendapat maklum balas berhubung ‘ugutan’ terbabit.

Badrul atau lebih dikenali Chegubard membidas penyebaran mesej ugutan itu kerana akan ‘merosakkan’ imej Muhyiddin selain membangkitkan kemarahan pemimpin akar umbi.

Beliau meminta pihak terbabit tidak menggunakan alasan mempertahankan institusi presiden seperti dibuat kumpulan dalam Umno yang menyokong Zahid Hamidi.

Menurut Chegubard, ahli dan pemimpin Bersatu perlu bersama Muhyiddin melawan kerajaan, selain menyambut serta menyokong inisiatif presiden menyatukan parti pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.