Cadangan pelarasan bajet bagi perbelanjaan tak kritikal, kata MoF

Cadangan pelarasan bajet bagi perbelanjaan tak kritikal, kata MoF

Semua perbelanjaan teras kementerian akan diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.

mof
Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak RM5.4 bilion bagi Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Tinggi sebagai langkah menjimatkan dana kerajaan susulan kesan konflik Iran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan pelarasan perbelanjaan operasi dicadangkan bagi Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Tinggi hanya melibatkan perkara tidak kritikal.

Menurutnya, perbelanjaan utama terus dilaksanakan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.

Kementerian itu berkata kedua-dua pihak terbabit antara penerima peruntukan tertinggi dalam bajet yang keseluruhannya bernilai RM470 bilion.

“Cadangan penyesuaian kos ini termasuk menangguhkan penganjuran acara, mengehadkan perjalanan ke luar negara serta program latihan, menjimatkan penggunaan utiliti, mengoptimumkan rizab agensi dan menangguhkan pengambilan bagi jawatan yang tidak kritikal.

“Langkah-langkah ini diberi keutamaan bagi mewujudkan ruang fiskal untuk bantuan serta subsidi bersasar, khususnya bagi melindungi golongan dan sektor yang terjejas akibat krisis bekalan global,” katanya.

Semalam, MoF dilaporkan mencadangkan pengurangan sebanyak RM5.4 bilion dalam perbelanjaan operasi bagi Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Tinggi sebagai sebahagian daripada usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan susulan kesan konflik Iran.

Satu arahan Perbendaharaan turut menggariskan potensi penjimatan kos bagi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi, namun tidak memperincikan secara spesifik sumber penjimatan tersebut.

Arahan itu menyatakan sebanyak RM10 bilion boleh dijimatkan secara keseluruhan, termasuk RM3.06 bilion daripada Kementerian Kesihatan dan RM2.39 bilion daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia juga mengarahkan supaya acara rasmi yang tidak penting seperti mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel ditangguhkan, manakala acara perlu diteruskan hendaklah dilaksanakan secara lebih sederhana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.