DAP kini MCA 2.0 dengan retorik kosong, kata Ti

DAP kini MCA 2.0 dengan retorik kosong, kata Ti

Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker mendakwa DAP mendiamkan diri ketika timbul isu besar membabitkan rakan gabungan mereka.

Ti Lian Ker berkata MCA walaupun kecil dan dianggap tidak relevan, ia tetap konsisten dengan pendiriannya berbanding DAP yang bertukar menjadi kowtow politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker mendakwa DAP kini berubah menjadi MCA 2.0 dengan retorik kosong, lebih banyak kegagalan dan keangkuhan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook semalam bahawa parti itu tidak pernah menyuarakan minat untuk bekerjasama dengan MCA.

Loke dilaporkan berkata kerjasama DAP adalah dalam rangka kerja kerajaan perpaduan, dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

Ti berkata ini kali keempat Loke menghina MCA secara terbuka, selepas beliau dilaporkan berkata ‘tidak suka MCA’, ‘tidak peduli dengan MCA’ dan meminta parti komponen BN itu ‘jangan perasan’.

Beliau berkata MCA walaupun kecil dan dianggap tidak relevan, ia tetap konsisten dengan pendiriannya berbanding DAP yang kini berubah menjadi MCA versi baharu, dengan lebih banyak kegagalan dan keangkuhan.

Katanya perjuangan DAP untuk beberapa perkara kini tidak menampakkan hasil, contohnya pilihan raya kerajaan tempatan, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan reformasi institusi.

“Selama puluhan tahun, DAP mengejek MCA lemah, tunduk kepada Umno dan tidak berani bersuara dalam kerajaan BN,” katanya dalam catatan Facebook.

“DAP suatu masa dahulu melaungkan ‘ubah’ dan ‘lawan tetap lawan’. Tetapi hari ini, di bawah kepimpinan Loke, laungan itu bertukar menjadi kowtow politik.

“Mereka yang suatu ketika dahulu melaungkan idealisme kini tunduk demi kuasa. Mereka yang menjanjikan demokrasi tempatan kini menangguhkan janji itu. Mereka yang berikrar menuntut keadilan untuk Teoh Beng Hock kini meninggalkannya sebagai sejarah pahit yang tidak lagi disebut.”

Ti turut mendakwa DAP mendiamkan diri ketika timbul isu besar membabitkan rakan gabungan mereka.

Katanya veteran dan bekas pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang serta Karpal Singh pernah dihormati atas keberanian mereka berpegang kepada prinsip dan suara mereka mewakili idealisme serta integriti.

“Loke jauh sekali daripada aura dan prinsip Kit Siang atau Karpal. Jika mahu dibandingkan, beliau sebenarnya lebih mirip kepada Ling Liong Sik, bekas presiden MCA yang sinonim dengan kompromi politik.

“Ironinya, Ling masih kelihatan lebih baik kerana sekurang-kurangnya beliau konsisten dengan pendiriannya, sedangkan Loke tampil dengan keangkuhan, tetapi gagal menzahirkan keberanian politik yang dijanjikan DAP.”

Beliau menasihatkan Loke lebih berwaspada ketika membuat kenyataan dan masyarakat Cina sedang menunggu DAP untuk benar-benar berfungsi lebih baik daripada MCA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.