Wanita miliki 2 kad pengenalan disyaki dalang sindiket dadah diburu polis

Wanita miliki 2 kad pengenalan disyaki dalang sindiket dadah diburu polis

Terdahulu, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok, minggu lepas.

Menurut Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, wanita berkenaan akan dimasukkan dalam senarai dikehendaki polis dan usaha mengesannya dijalankan bersama pihak berkuasa Thailand. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis Kelantan sedang mengesan seorang wanita dipercayai memilik dua kad pengenalan Malaysia dan Thailand, susulan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok, minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 30an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah di sempadan serta dikatakan berkahwin dengan seorang lelaki warga Thailand.

“Kes seumpama ini sering melibatkan individu mempunyai dua identiti. Hasil semakan nombor kenderaan di Malaysia dan maklumat daripada pihak berkuasa Thailand mengesahkan suspek memiliki kad pengenalan sah di kedua-dua negara.

“Agak sukar untuk mengesan suspek kerana dia mempunyai dua kad pengenalan. Jika ditahan di Thailand, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Thailand manakala jika ditahan di Malaysia, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Malaysia, sekali gus menyukarkan penentuan status kewarganegaraannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di pekarangan IPK Kelantan, di sini hari ini.

“Polis sedang memburunya. Kes tangkapan dadah berlaku di Golok, Thailand dan wanita terbabit disyaki ahli sindiket penyeludupan dadah,” katanya.

Mohd Yusoff berkata polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kes berkenaan.

Beliau berkata wanita berkenaan akan dimasukkan dalam senarai dikehendaki polis dan usaha mengesannya dijalankan bersama pihak berkuasa Thailand.

Terdahulu, media melaporkan sebuah Toyota Vellfire bernombor plat pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan minggu lepas.

Sementara itu, sebanyak 153 pangkalan haram di tanah kerajaan negeri telah dikenal pasti Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk dirobohkan.

Beliau berkata operasi perobohan akan dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pengguna dalam tempoh sebulan.

“Jika terbukti berlaku vandalisme atau pencerobohan, tindakan undang-undang akan diambil. Polis tidak mahu sebarang provokasi berlaku, sama ada oleh penduduk tempatan mahupun sindiket penyeludupan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.