Serah diri lepas cekik mati teman wanita

Serah diri lepas cekik mati teman wanita

Suspek maklum kejadian kepada polis dengan lelaki berusia 47 tahun itu direman hingga 30 Ogos.

hafiz nor
Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata mangsa berusia 52 tahun dipercayai dibunuh di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki disyaki mencekik teman wanita sampai mati sebelum melaporkan jenayah itu kepada polis, dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang, dekat Kuala Lumpur.

Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan daripada lelaki berusia 47 tahun itu, pada 8.54 malam, Sabtu.

Katanya, suspek turut ditahan di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik di bahagian belakang kediaman itu, polis menemui seorang wanita dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh yang tiba di lokasi pada 10.47 malam mengesahkan wanita terbabit sudah meninggal dunia lebih empat jam sebelum itu,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, 52, dipercayai dibunuh dengan cara dicekik menggunakan tangan, namun siasatan lanjut masih berjalan.

Suspek direman tujuh hari sehingga 30 Ogos dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.