Pampasan bawah Akta PSB dijamin lebih nilai pasaran, kata Nga

Pampasan bawah Akta PSB dijamin lebih nilai pasaran, kata Nga

Menteri KPKT beri contoh Flat Razak Mansion dan Kampung Kerinchi sebagai projek pembangunan semula bandar yang berjaya.

Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, Akta PSB akan peruntuk campur tangan kerajaan untuk elak eksploitasi atau tindakan sewenang-wenangnya oleh pemaju. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming memberi jaminan pampasan bagi pemilik hartanah yang terlibat dalam projek pembaharuan perumahan di bawah cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) akan melebihi nilai pasaran.

Katanya, kejayaan projek sedemikian terbukti menerusi pembangunan semula Flat Razak Mansion di Bandar Tun Razak dan Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur, di mana pemilik menerima pampasan jauh lebih tinggi daripada nilai asal.

Nga berkata, menerusi projek pembangunan semula itu, kediaman asal berkeluasan 400 kaki persegi digantikan dengan unit 800 kaki persegi, dengan nilainya meningkat daripada RM70,000 kepada RM450,000.

“Saya akan pastikan pampasan yang diterima lebih baik daripada apa yang mereka miliki sekarang. Lihat sahaja (projek) Razak Mansion dan Kampung Kerinchi, ia terbukti berjaya,” katanya.

“Mengapa perlu dipolitikkan perkara yang baik, sedangkan niat kita adalah untuk membantu rakyat?”

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran projek dan galeri jualan PR1MA Teluk Intan, lapor Berita Harian.

Beliau menegaskan, Akta PSB yang dicadangkan itu memperuntukkan campur tangan kerajaan bagi mengelakkan eksploitasi atau tindakan sewenang-wenangnya oleh pemaju.

“Pemaju tidak boleh mengambil jalan mudah atau menindas pemilik kerana di bawah PSB, terdapat mekanisme kawalan seperti Jawatankuasa Mediasi dan Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh menteri.

“Maka, setiap keputusan akan mengambil kira kepentingan awam dan menjamin formula menang-menang,” katanya.

Mengulas cadangan ambang persetujuan 80% di bawah Akta PSB yang dicadangkan itu, Nga berkata, had tersebut ditetapkan pada 2013 susulan kajian mendalam selama tiga tahun.

Tambahnya, had 80% itu adalah antara yang tertinggi di dunia, dengan pembangunan semula di Shanghai hanya memerlukan majoriti dua pertiga, manakala Tokyo memerlukan 60%.

“Bagi mereka yang tidak bersetuju, proses rundingan akan dibuat menerusi Jawatankuasa Mediasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.