Gegaran di Segamat, MB Johor nasihat jauhi struktur tak kukuh

Gegaran di Segamat, MB Johor nasihat jauhi struktur tak kukuh

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata beliau dimaklumkan setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

Gegaran dengan kekuatan 4.1 magnitud turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang. (Gambar METMalaysia)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor menasihati orang ramai menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka arahan pihak berkuasa susulan gegaran gempa bumi lemah dikesan di Segamat pada 6.13 pagi tadi.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi dan dimaklumkan setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

“Kerajaan Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pagi ini.

Beliau turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, dalam hantarannya berkata MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung gempa bumi tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan data direkodkan, gegaran dengan kekuatan 4.1 magnitud di daerah yang jaraknya terletak kira-kira 180km dari ibu negeri itu dan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.

“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.