Fahmi nafi arah sekat kandungan kes Zara Qairina

Fahmi nafi arah sekat kandungan kes Zara Qairina

Menteri Fahmi Fadzil berkata laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang mencetuskan fitnah itu.

fahmi fadzil
Fahmi Fadzil seru semua pihak henti fitnah dan tidak menunggang sebarang isu demi kepentingan peribadi termasuk kes Zara Qairina Mahathir.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan ada mengeluarkan kenyataan dan arahan untuk menyekat kandungan berkait kes Zara Qairina Mahathir.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan menegaskan hantaran dimuat naik pemilik akaun Facebook Datu Bentan Alamin adalah fitnah.

“Saya tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan mahupun arahan seperti yang didakwa.

“Satu laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun FB yang mencetuskan fitnah itu,” katanya di Facebook.

Beliau juga menyeru semua pihak menghentikan penyebaran fitnah dan tidak menunggang sebarang isu demi kepentingan peribadi.

“Termasuk menjadikan kes Zara Qairina sebagai bahan untuk dimanipulasi,” katanya.

post fitnah fahmi fadzi
Tangkap layaran hantaran akaun Facebook yang memfitnah Fahmi Fadzil. Gambar Facebook)

Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.

Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.

Inkues bagi menentukan punca dan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara akan bermula 3 Sept ini.

Rabu lalu, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Pertuduhan terhadap lima perempuan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan WDT 15, Papar antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.