
Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata dalam kejadian 6.22 petang itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Cegah Jenayah menerima maklumat mengenai sebuah kereta jenis Proton Preve dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota MPV cuba menahan kenderaan itu di KM42 Jalan Gua Musang-Kota Bharu, di Chiku 3 dengan meletakkan kenderaan peronda di tengah jalan. Namun, suspek memecut laju dan cuba merempuh anggota yang sedang bertugas.
“Bagi mempertahankan diri, seorang anggota melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang di sebelah kanan tetapi tidak mengenai sasaran. Suspek berjaya meloloskan diri sebelum dikejar semula dan akhirnya ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki syabu seberat kira-kira 1.47g serta 33 biji pil yaba dalam kenderaan itu.
Sik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Paloh di talian 09-9285090,” katanya.