
Mohd Safri Jilji, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret N Sivashangari.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua lagi masih bebas mencuri 11 kotak susu di 99 Speedmart Taman Paya Emas dan 99 Speedmart Bandar Baru Sungai Udang, Melaka, kira-kira 7 malam, pada 1 dan 2 Ogos.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan didenda dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dipenjara dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian, memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen dan menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan, lapor Berita Harian.
Peguam Chua Yong Yi merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh bertugas sebagai juruteknik pendingin hawa sambilan dan tiada pendapatan tetap serta bergantung kepada isteri bekerja di salun.
“Anak guam saya patah tangan dan cedera di kaki serta baru selesai menjalani pembedahan dan perlu rawatan susulan di Hospital Melaka bersama ubat-ubatan.
“Tertuduh mempunyai seorang anak lembam berusia 10 tahun yang masih bersekolah selain menanggung ibu berusia 50 tahun yang diserang angin ahmar dan lumpuh,” katanya.
Sivashangari membenarkan tertuduh dilepaskan sementara hingga perbicaraan selesai dengan ikat jamin RM4,000 berserta seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 7 Oktober ini.