
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata Anwar membangkitkan perkara tersebut pada mesyuarat Jemaah Menteri susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap lima pegawai kanan, termasuk dua daripada MDIO, dan lima orang awam, dalam satu operasi baru-baru ini.
“Kementerian Pertahanan juga akan memberikan laporan penuh kepada Jemaah Menteri setelah siasatan di pihak SPRM,” katanya pada sidang media mingguan.
“Selepas pihak SPRM lakukan siasatan maka pihak tentera juga akan lakukan siasatan jadi kita tunggu siasatan tersebut.”
Fahmi berkata, Anwar turut meminta Menteri Pertahanan Khaled Nordin memberikan taklimat mengenai pesawat pejuang, FA-18D Hornet, yang terhempas malam tadi, di Kuantan, Pahang.
“Menteri pertahanan telah memaklumkan bahawa kedua-dua juruterbang selamat dan siasatan akan dilakukan…dan siasatan tersebut nanti akan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri setelah ia siap.
“Oleh kerana ia adalah siasatan yang berbeza dengan pihak SPRM. Maka, aspek siasatan itu tidak boleh diganggu dan mesti diteruskan,” katanya.
Katanya, Anwar juga meminta Kementerian Pertahanan meneliti aspek keselamatan agar tidak terjejas.
‘Boleh himpun depan Parlimen’
Fahmi berkata, perdana menteri tegas dan mengambil pendirian berhimpun di hadapan Parlimen itu tidak harus dihalang, walaupun kawasan Padang Merbuk ditetapkan sebagai kawasan untuk himpunan.
“Boleh terus berhimpun di hadapan Parlimen…cuma yang diminta untuk pastikan aspek laluan itu terkawal supaya tidak berlaku apa-apa kelewatan bagi mereka yang ingin keluar masuk Parlimen.
“PM juga telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan (Dr Zaliha Mustafa) meneliti pagar yang ada dikeliling Padang Merbuk untuk lakukan beberapa penambahbaikan supaya orang ramai boleh menggunakan padang tersebut dengan lebih baik,” katanya.
Perlu lebih masa berkait tribunal antibuli
Mengulas cadangan penubuhan tribunal antibuli, Fahmi berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, memohon lebih masa untuk penyediaan dokumen sebelum membentangkan hal itu sekali lagi kepada Kabinet.
Beliau turut berkata, Kabinet telah membincangkan isu buli di sekolah serta institusi pengajian tinggi, dan menekankan keperluan penyelarasan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Peguam Negara, polis, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya, menteri pendidikan masih belum memberikan perkembangan mengenai langkah khusus, namun satu sesi pemukiman akan diadakan tidak lama lagi melibatkan kementerian berkaitan bagi menyelaras SOP menangani isu buli dengan lebih berkesan.