Artikel Sarawak Tribune disiasat KDN

Artikel Sarawak Tribune disiasat KDN

Tiga individu daripada syarikat penerbitan itu dipanggil memberikan keterangan secara berasingan.

kementerian dalam negeri
KDN siasat artikel ‘Militant using press cover eliminated’ kerana kemungkinan pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
PETALING JAYA:
Sarawak Tribune disiasat Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan aduan awam mengenai penerbitan artikel bertajuk ‘Militant using press cover eliminated’, pada 12 Ogos.

KDN memaklumkan tiga individu daripada syarikat penerbitan itu telah dipanggil memberikan keterangan secara berasingan.

Siasatan difokuskan terhadap penerbitan berpotensi menimbulkan kegusaran awam, menggugat ketenteraman serta melibatkan kemungkinan pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Artikel yang cetus aduan awam. (Gambar Facebook)

“KDN memandang serius tindakan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, syarikat akhbar diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab dan beretika dalam penerbitan berita,” kata KDN menurut Bernama.

KDN memaklumkan kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan atau penerbitan dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 301.

Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan ialah penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, termasuk kemungkinan pembatalan permit penerbitan.

KDN menegaskan tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam penerbitan sehingga boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan dipertimbangkan selepas siasatan dilengkapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.