Akmal mengaku tak salah berkait catatan Jalur Gemilang di Facebook

Akmal mengaku tak salah berkait catatan Jalur Gemilang di Facebook

Ketua Pemuda Umno itu mohon dibicarakan.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan peguamnya berjalan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini.
BUKIT MERTAJAM:
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung satu catatan Facebook dikaitkan dengan kontroversi Jalur Gemilang baru-baru ini.

Akmal didakwa membuat kenyataan mungkin menimbulkan kegentaran dan kegusaran awam, yang terkandung dalam satu video dimuat naik ke Facebooknya pada 11 Ogos lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Nordin Ismail, manakala Akmal diwakili pasukan 11 peguam diketuai Aizat Azam.

Akmal memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Rasyidah Akit.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan pengurusan kes pada 22 Sept ini.

Terdahulu, pasukan pembelaan memohon ikat jamin RM2,000 dengan memetik beberapa kes dari 1990-an serta kedudukan Akmal sebagai pemimpin tempatan, exco negeri dan bapa kepada dua anak.

Aizat turut memohon mahkamah menganggap kes itu bukan “kesalahan serius” memandangkan hukuman penjara maksimum ditetapkan kurang daripada 10 tahun.

Nordin bagaimanapun berhujah cadangan itu tidak realistik dan memohon ikat jamin RM10,000.

Dalam video itu, Akmal didakwa menuntut pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh dua hari bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu dirujuknya sebagai “apek” (warga emas Cina) kerana didakwa mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.