Veteran tentera didenda RM48,000 kemuka tuntutan palsu

Veteran tentera didenda RM48,000 kemuka tuntutan palsu

Fairuzul Fazillah Musa mengaku bersalah guna dokumen palsu sebagai tulen antara Januari 2015 hingga Februari 2016.

Gavel
Hakim Mahkamah Khas Rasuah Jason Juga perintah Fairuzul Fazillah Musa bayar denda RM4,000 bagi setiap tuduhan, yang telah dibayarnya secara keseluruhan. (Gambar Pexels)
LABUAN:
Seorang veteran tentera didenda RM48,000 di Mahkamah Khas Rasuah hari ini selepas mengaku bersalah atas 12 tuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan berjumlah lebih RM336,000.

Fairuzul Fazillah Musa yang pernah bertugas di Labuan didakwa di bawah Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menggunakan dokumen diketahui palsu sebagai tulen untuk membuat tuntutan elaun latihan tempatan dan elaun sagu hati tahunan antara Januari 2015 hingga Februari 2016.

Tertuduh kemudian ditawarkan 12 tuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah pada 24 Jan lepas.

Hakim Jason Juga memerintahkan Fairuzul membayar denda RM4,000 bagi setiap tuduhan, yang telah dibayarnya secara keseluruhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.